Orang yang kita percayai berkhianat kepada kita. Itu maksud sokong bawa rebah.

Situasi ini boleh dielakkan namun dalam banyak keadaan, kita hanya sedar sokong itu mula menyebabkan kita rebah apabila saat sudah terlalu lewat.

Mengapa agaknya kita berpaut terus pada sokongan itu jika kita tahu ia sudah mulai rebah?

Ada banyak sebab sebenarnya kita sukar untuk menjauhkan diri atau melepaskan sokongan itu sehingga kita rebah menyembah bumi.

Antaranya kerana kita sudah terlalu selesa dengan sokongan itu dan menjadi terlalu yakin bahawa sokongan itu akan ada bersama kita dalam apa jua keadaan dan tidak mungkin ia akan mewujudkan keadaan yang boleh menjejaskan tahap keselesaan itu sehingga boleh menyebabkan kita jatuh tersungkur.

Itu satu situasi, situasi yang lebih penting lagi ialah bagaimana kita boleh berpaut pada sokongan yang sedemikian pada awalnya?

Kita terjebak kerana dari peringkat awal lagi kita telah terperangkap dalam jaringan manipulasi yang terancang yang mana  kita didedahkan dengan maklumat-maklumat yang mengelirukan dan juga maklumat-maklumat yang tidak lengkap namun logik.

Adalah jelas bahawa maklumat adalah alat yang sesuai untuk proses manipulasi. Dengan menggunakan maklumat, persepsi individu dapat diolah dan ditukar dan dalam kata lain, individu boleh dan akan dimanipulasikan dengan maklumat-maklumat tertentu untuk berfikir bahawa mereka membuat keputusan sendiri atas kehendak sendiri di atas sesuatu perkara, tindakan mahu pun keputusan.

Kejayaannya (manipulasi maklumat) terletak dalam penyembunyian maksud sebenarnya. Dalam kebanyakan aktiviti manipulasi maklumat, media dalam pelbagai bentuk diguna pakai dengan sepenuhnya kerana melalui media, lebih ramai akan dapat dipengaruhi untuk menerima maklumat yang berkaitan yang bermatlamat untuk meningkatkan bilangan yang memberikan sokongan.

Apabila ramai yang memberikan sokongan, maka semakin kuat cengkaman yang akan dikenakan dan dengan itu dengan mudah manipulasi lain yang dapat dilakukan.

Semakin jauh dan semakin dalamnya kita terpengaruh dengan manipulasi maklumat berkenaan, maka semakin yakin kita kepada maklumat yang diperolehi itu adalah benar dan boleh dipercayai dan semakin sukar malah kita tidak akan menerima maklumat lain selain daripada sumber maklumat yang telah berakar umbi di minda kita itu.

Pada situasi ini, kita tidak akan dapat lagi mengesan apa pun elemen yang boleh meletakkan kita dalam situasi yang merugikan kita.  Maka kerana itu apabila sokong yang diharapkan itu membawa kita rebah, kita tidak dapat bertindak dengan betul untuk membaiki keadaan atau bertindak untuk keluar dari situasi yang melemaskan itu.

Akhirnya kita tumbang dan rugi segala-galanya sedangkan sokong yang membawa rebah itu telah memperolehi segala yang diperlukannya untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.

Bolehkah manipulasi maklumat ini diatasi?

Semestinya boleh dan mudah sahaja.

Apa yang perlu kita lakukan adalah meneliti semua maklumat yang diperolehi sebelum membuat sebarang pembentukan pendapat dan seterusnya membuat keputusan.

Kita harus sentiasa mencari dan menguji kesahihan maklumat yang diperolehi yang boleh kita lakukan dengan meneliti maklumat-maklumat lain yang berkaitan atau ada persamaan.

Maksudnya di sini, kita harus rajin membaca dan mendengar banyak maklumat lain selain banyak bertanya atau menyoal untuk mengesahkan maklumat berkenaan.

Dalam era ledakan maklumat dan kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat, perkara ini bukan suatu yang sukar.

Jika kita tidak berminat untuk meneliti maklumat yang didapati itu, maka kita sebenarnya tergolong di dalam golongan yang sengaja menjerumuskan diri kita ke dalam perigi buta dan membenarkan orang lain memperbodoh-bodohkan kita dan merampas hak kita untuk bebas mendapatkan maklumat dan bersuara.

Mereka yang sudah dirampas haknya sebenarnya adalah hamba – yang boleh dipergunakan sesuka hati bagi mencapai apa sahaja yang dihajati oleh si manipulator.

Adakah kita dalam golongan itu?