Usaha Tangga Kejayaan.  Itu adalah kata-kata peransang yang sudah sebati dengan kita yang memberikan penekanan bahawa jika kita rajin berusaha maka kejayaan pasti akan kita nikmati.

Suatu yang amat ideal.  Walaupun usaha – dalam apa bentuk sekalipun – merupakan antara faktor penting sesuatu kejayaan itu, namun faktor-faktor kecil yang lain sebenarnya menjadi penentu kepada kecemerlangan kejayaan itu.

Sesuatu yang dihajati atau sesuatu kejayaan yang dihajati dalam banyak keadaan adalah tidak seperti yang diharapkan.

Misalnya apabila seseorang itu menyediakan teh.  Serbuk teh atau uncang teh, teko, gula dan air panas sudah disediakan, namun jika hanya menggunakan logik – masukkan uncang teh ke dalam teko dan masukkan air panas, masukkan gula dan kacau – teh yang tersedia itu sudah menepati keperluan penyediaan teh yang biasa.

Bagi mana-mana individu yang kali pertama menyediakan teh, itu sudah dianggap suatu kejayaan.  Namun kejayaan dalam penyediaan teh itu belum lagi sempurna sehingga teh berkenaan dihidangkan kepada tetamu dan tetamu yang menikmati teh berkenaan berasa puas dengan rasa teh yang disediakan itu.

Menyediakan teh tampak suatu yang mudah dan kejayaan penyediaannya juga seharusnya mudah. Betul? Tidak semudah yang kita sangkakan.

Walaupun faktor utama penyediaan teh adalah usaha untuk memasak air, menyediakan uncang teh, gula dan teko yang kemudiannya diteruskan dnegan usaha memasukkan air yang telah mendidih ke dalam teko dan dimasukkan uncang dan gula dan mengacaunya namun usaha itu tidak menjadi penentu kepada kejayaan penyediaan teh yang bagus.

Faktor seperti kemahiran atau pengalaman memastikan takat didihan air yang sesuai bagi memastikan daun-daun teh mengembang dan merembeskan enzim dan perasa yang mencukupi yang akan meransang deria rasa kita.

Oleh itu, usaha sahaja tidak menjamin kejayaan yang diharapkan.  Usaha harus disadurkan dengan ilmu.

Untuk mendapatkan ilmu, perlu berusaha yang menekankan kesungguhan berterusan untuk memahami dan seterusnya mengamalkan ilmu yang dipelajari atau diperolehi itu.

Secara amnya kejayaan yang kita capai adalah gabungan daripada usaha keras kita beserta dengan sikap yang betul, tahap kemahiran yang bersesuaian (atau tinggi), kesediaan untuk belajar, kesediaan untuk melakukan perubahan dan keinginan untuk menyumbang.

Oleh itum sebelum kita mengecapi sesuatu kejayaan, tetapkan dahulu makna atau apa kejayaan yang kita harapkan.

Kita perlu mengenal pasti semua perkara yang kita perlu lakukan untuk mencapai matlamat kita.

Kita mesti jujur kepada diri sendiri  selain kita perlu banyak bersabar dan bersikap dengan sikap yang tetap dan berterusan dalam usaha yang kita laksanakan.