Selalu bila seni  diperkatakan, yang aku faham bila mak bapa orang seni maka anaknya juga akan bergiat dalam bidang seni. Anak pun akan isytiharkan yang darah seni yang mengalir dalam tubuhnya telah memungkinkan dia meneruskan kegiatan seni seperti ayah dan ibunya.  Aku memang tak percaya semua tu. Bagi aku kalau dah ada bakat dan minat siapa pun boleh jadi seniman. Tapi senang cakap daripada alaminya.

Sejak kecil aku memang suka dengar muzik. Sebelum bersekolah, kalau dengar lagu rancak, sorang-sorang pun boleh gedik. Aku cuba memainkan pemain piring hitam. Sampai sudah tak pandai. Kalau nak dengar, kena tunggu kakak buatkan. Rumahnya penuh dengan album Melayu, Inggeris, Peranchis. Aku akan membelek satu persatu dan pilih gambar album yang cantik. Lepas tu suruh dia pasang. Aku hanya menari bila tidak ada orang lihat. Kalau ada orang aku hanya duduk dekat radio dengar lagu. Kakak juga kadang-kadang akan mainkan organnya. Selalunya bila dia bosan atau tertekan. Aku cuba main. Tapi tekan-tekan begitu sajalah. Sumbang bunyinya.  Itu kalau aku ke rumahnya. Kalau duduk di rumah mak, alamat dengar drama radio. Piring hitam atau kaset yang ada hanyalah nasyid El-Suraya dari Medan. Kakak ada berikan peti radio yang boleh mainkan piring hitam, kaset dan radio sekali gus. Bentuknya macam beg bimbit. Memang tahan lasak. Tapi mak hanya pasang radio. Ayah akan pasang kaset ceramah agama. Kami tak berani pasang lagu lain, takut ayah marah. Kalau ayah balik sewaktu kami dengar lagu, cepat-cepat kami tutup radio.

Bila kakak pindah balik kampung, organ di rumahnya dibawa bersama. Di sinilah waktu yang menyeronokkan. Selepas sekolah, kami berempat aku, kakak dan dua abang akan berkurung dalam bilik bermain organ. Di sekolah ada pancaragam. Kedua abang dan kakak pandai membaca nota muzik. Maklumlah ahli pancaragam sekolah. Abang bongsu memang suka menyanyi dan main muzik. Kakak bongsu pula pandai mengaji. Suaranya merdu bila mengaji Al-Quran. Siap dengan lagu sekali. Aku pula bila dah bersekolah, pantang ada peluang, kalau cikgu tanya siapa nak nyanyi? Mesti aku angkat tangan. Yakin sungguh. Bila difikirkan balik, berani sungguh aku. Rasa malu pun ada bila dah besar. Perasan sedap sangat bila menyanyi. Bila dah usia remaja barulah aku tahu yang aku tidak ada bakat menyanyi. Suara kanak-kanak mana sama sewaktu remaja.

Dalam bilik aku hanya melihat mereka menyanyi dan bermain organ. Walaupun hanya melihat aku sememangnya suka berada di dalam kelompok itu. Sedikit demi sedikit aku suka dengan apa yang aku lihat. Cemburu bila tengok jari-jemari abang lincah bermain organ. Kemudian terdengar jeritan mak suruh kami mandi bersiap untuk ke sekolah petang. Bertempiaran kami lari keluar bilik.

Waktu petang kami akan bersekolah agama di Madrasah kampung. Dulu silibus sekolah memang sekular. Jadi pelajaran  Fardhu Ain dan sebagainya diajar di madrasah atau sekolah agama rakyat. Mujurlah Pulau Pinang ada banyak madrasah. Kalau tidak entah apa jadi kat orang Melayu. Di madrasah ini pun ada kumpulan nasyid yang dibentuk oleh ustaz-ustaz. Ada empat orang Ustaz di madrasah. Salah seoranglah adalah ayah sendiri. Kumpulan nasyid dibentuk untuk persembahan selingan sewaktu musabaqah peringkat daerah. Yang aku ingat aku belum layak belajar di madrasah kerana pelajarnya berumur 9 – 12 tahun. Aku baru tadika. Tapi sebab anak ustaz, aku pun ikut juga tengok mereka berlatih. Penyanyi solo seperti biasa abang bongsu dan seorang pelajar perempuan. Ayah akan main Maracas. Ustaz  H akan main akordian. Alat muzik lain tabla dan tamborine. Tapi aku tak ingat siapa yang main. Ayah akan bentuk suara abang. Itu yang aku ingat. Aku tak tahu macam mana pula cerita versi abang.  Yang aku tahu, ayah bangga sangat sebab abang pandai menyanyi. Lagu yang dinyanyikan adalah Ingin Selamat, Panggilan Jihad dan Pemuda Islam. Mungkin ada lagu lain tapi aku tak ingat.

Bila kakak pindah, sekali lagi organ dibawa pergi.  Tiada lagi sesi muzik untuk kami. Bila abang dan kakak bersekolah menengah, tiada pancaragam di sekolah mereka. Akhirnya minat dan bakat mereka berkubur begitu saja. Tiba-tiba muncul pula minat main biola. Semuanya sebab tengok filem Anakku Sazali. Aku begitu kagum dan bentuk dan bunyi biola dan berangan-angan hendak belajar dan main dengar sebenar-benarnya. Mahu jadi seniman. Bila cakap dengan mak, mak kata nak belajar kat mana? Tak payahlah. Buang duit. Ayah tak suka. Bermacam alasan lagi. Tapi memang betul pun. Siapa yang pandai main biola kat kampung. Kalau belajar di bandar … jauh. Mana nak bayar yuran. Makan lebih penting daripada muzik.  Aku pendamkan hasrat hati. Aku tak berani cakap dengan Ayah sebab pada waktu itu Ayah dah sampai tahap pemikiran Muzik itu haram dan melalaikan. Aku dipaksa memakai tudung bila ke sekolah. Kalau tak mau bertudung, tak payah ke sekolah.  Radio dan TV kalau ada rancangan hiburan, mesti ditutup sewaktu ayah di rumah. Kalau nak dengar radio, kami akan membawa radio transistor ke bilik dan dengar perlahan dekat telinga. Waktu itu belum ada Walkman. Kalau ayah balik cepat-cepat kami sorokkan radio takut ayah nampak.

Waktu bersekolah menengah pula adalah waktu kritikal. Sesiapa yang memakai tudung memang tak boleh masuk bahagian kesenian langsung. Dipandang serong. Tak ada uniform. Pelik dan sebagainya. Akhirnya aku tak masuk persatuan apa pun kecuali Persatuan Penuntut Islam.  Pancaragam sekolah aku lepaskan. Sampai tahap ini aku dah kehilangan minat untuk main muzik.

Aku fikir hanya kami bertiga saja yang sukakan seni. Tapi rupanya kami 13 beradik memang keluarga seni. Sebab aku bongsu maka aku tak perasan yang bakat seni kakak dan abang yang lain. Boleh dikatakan kesemua kakak dan abang mengambil mata pelajaran lukisan di sekolah kecuali aku. Aku tak dibenarkan kerana pihak sekolah tidak menggalakkan pelajar Islam mengambil pelajaran lukisan kecuali benar-benar berbakat dan minat. Aku tak percaya diri aku berbakat kerana aku tak punya kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Sayang sungguh rasanya. Kalau waktu SRP aku ambil lukisan mungkin dan jadi pereka hiasan dalaman lah kot sekarang ni.

Seorang kakakku dulu selepas kerja akan menghabiskan masanya dengan melukis. Lukisan itu dihasilkan untuk dirinya saja. Lepas tu semua lukisan disimpan dalam fail. Bila mak mula membuat bunga keladi dari tin minyak 2T untuk dijual, mak akan menggunting. Tapi kakaklah yang akan melukis dan mengecat bunga. Laku bunga jualan kami. Sejambak RM15.00.

Bila dah masuk kolej, barulah aku terfikir kenapalah kakak tak teruskan pelajaran dalam bidang seni halus. Rupanya dulu tak siapa yang tahu peluang yang ada. Yang masuk U adalah mereka yang pandai akademik, bukan mereka yang berseni. Tak ada masa depan untuk orang macam kakak. Kalau kakak masuk ITM mungkin dah jadi seniwati terkenal agaknya. Tak pun pensyarah seni. Yang aku ingat, kakak nak kerja sebab nak tolong mak. Akhirnya kakak kerja kilang. Seorang lagi kakak pandai menjahit. Jahitannya kemas dan halus. Banyak hasil sulaman dan benang kait yang dibuat tapi semuanya hanya hobi. Tak ada siapa yang serius. Dia sepatutnya masuk bidang fesyen atau tekstil. Alih-alih masuk tentera.

Tapi satu yang aku perasan, kebanyakan kakak yang tangan berseni ini memang pandai masak. Mungkin itu kelebihan tangan mereka. Tapi kalau bab usahawan mungkin tolak tepi. Sebab mereka buat sebab suka buat. Bukan sebab duit. Syukur jugak kakak ku sekarang telah buka perniagaan andaman sendiri. Nak hidup katakan, jadi perlukan duit.

Bila aku dah bekerja, aku mula mendengar instrumental piano dari Richard Clyderman. Nak belajar piano pulak. Tapi gaji kecil menyukarkan aku membayar yuran. Soal waktu kerja yang tidak menentu terus membantutkan minat aku.

Bila aku sambung belajar, aku didedahkan dengan kelas lakonan dan teater. Aku tahu apa yang aku boleh buat. Bukan berlakon kerana aku pemalu. Lontaran suara aku tak jelas, jadi tak sesuai jadi pelakon atau guru. Tapi aku lebih suka bekerja di belakang tabir. Antara projek yang paling berjaya adalah Sketsa Mamma Mia. Itu pandangan peribadi. Sketsa ini aku hasilkan sebelum teater Mamma Mia dipentaskan di West End lagi. Aku dapat sokongan yang baik dari kawan-kawan sekumpulan dan pensyarah. Tapi sayang ianya hanya projek kumpulan dalam kelas.

Bukan semua ahli keluarga berbakat dalam seni ini. Bagi aku sendiri , bakat aku lebih kurang. Tapi dari dulu aku memang suka menulis. Seni itu luas bidangnya. Jadi penulisan adalah kelebihan bagi aku kerana sebagai anak bongsu dalam keluarga yang konservatif, aku tidak dibolehkan melahirkan perasaan. Tak ada siapa yang akan mendengar cakap aku kerana aku dianggap tidak tahu apa-apa. Jadi aku menjadi seorang pemerhati. Memerhati dan berfikir, tetapi sebagai pengajaran untuk diri ku. Bukan untuk orang lain. Apa yang aku fikir, aku akan lahirkan dalam bentuk penulisan atau pandangan dengan kawan-kawan rapat sahaja.

Setelah berkahwin,  suami banyak memberi galakan untuk menulis. Puncanya kerana apabila aku bercerita, pada pandangannya cerita aku bagus dan perlu direkodkan. Sayang kalau pengalaman itu dibiarkan begitu saja. Padanya juga, kisah hidupku menarik. Mungkin kerana perbezaan generasi antara mak dan ayah dengan aku. Ahli keluarga yang ramai dan warna-warna hidup yang pelbagai. Berbanding dengan cerita dirinya yang padanya amat bosan dan menekankan.

Suamiku juga suka aku bermain muzik untuknya. Dia belikan keyboard murah untuk aku luahkan rasa kreatif aku. Aku tak pandai main. Sekadar baca not sikit-sikit tu bolehlah. Kalau boleh dia nak aku belajar piano secara profesional. Bukan untuk kerjaya, tapi sebagai pengasah kebolehan dan untuk dirinya juga kerana dia suka dengar aku main. Tapi sekali lagi kewangan menjadi halangan. Lagi pun aku tidak berminat meneruskan minat ini dengan serius kerana aku sendiri tak serius. Pada aku lagi banyak perkara penting selain dari kelas piano. Cuma sekali sekala terbayang kalau suami aku pandai bermain muzik dan menyanyi, aku mahu jadi seperti The Mamas and The Papas atau ABBA. Seronok sendiri saja. Bukan untuk orang lain. Tapi itu hanyalah angan-angan. Walaupun suami aku tidak berbakat dalam muzik tapi dia suka mendengar muzik. Rasanya aku yang memperkenalkan muzik yang bagus untuk dirinya. Sekarang dia lebih pandai menilai gubahan muzik berbanding aku. Cepat belajar rupanya.

Bila difikirkan balik, kenapalah aku cenderung dengan seni muzik, aku tak tahu. Setelah kematian ayah barulah aku tahu yang ayah sewaktu zaman mudanya telahpun membentuk kumpulan muziknya sendiri. Siap jamming lagi setiap malam. Ayah sebenarnya seorang pemain biola dan boleh juga membaiki biola di kampungnya. Namun setelah belajar agama dengan mendalam, maka dia telah membuang biolanya dan tidak aktif lagi bermain. Kami juga tidak digalakkan asyik dengan muzik. Tapi bab nasyid sewaktu kecil telah memperlihatkan pada aku akan kebolehan ayah. Bagi ayah  muzik sepatutnya ke arah kebaikan tapi bukanlah secara serius. Jangan lalai dengan muzik. Tapi sekali sekala aku akan pasang keyboard dan main lagu yang aku tahu.

Kini aku mendengar lagu melalui internet. Keyboard aku masih bertudung dan jarang diusik. Bagi kebanyakan ahli keluarga aku ada banyak perkara yang lebih penting selain daripada melayan kehendak seni untuk kepuasan. Namun tidak dinafikan yang bentuk seni yang pelbagai ini adalah kurniaan Tuhan untuk manusia. Terpulanglah cara kita menggunakannya tetapi kita telah diberi panduan untuk menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi.

-SNASH-