Kebenaran adalah suatu yang amat ingin kita capai.  Bagi kebanyakan kita, hanya kebenaran yang penting.  Bagi kebanyakan yang lain pula, kebenaran adalah pilihan yang disandarkan kepada faktor dan maklumat yang hanya boleh diterima dan mereka cernakan.

Kebenaran menjadi suatu pilihan.  Jika ia tidak memihak kepada mereka, maka kebenaran itu tidak wujud. Maka jika tidak wujud kebenaran, maka harus dicarikan dan didapatkan ‘kebenaran yang sebenarnya’ yang hanya boleh diketemukan dengan mengikuti perspektif mereka.

Apa itu kebenaran?

Kebenaran atau keadaan benar itu berupa kesesuaian (correspondence) antara apa yang dimaksudkan oleh suatu pernyataan dengan apa yang sebetulnya terjadi yang merupakan kenyataan atau faktanya.

Mencari kebenaran dan memperolehinya tidak semudah yang kita sangkakan. Pelbagai maklumat yang perlu kita proses bagi tujuan itu dan menyatakan sesuatu itu adalah benar dan kebenarannya tidak dapat disangkal memerlukan keupayaan gabungan kecekapan dan keupayaan kita mengumpul maklumat dan menganalisanya berdasarkan kriteria keperluan kita untuk mendapatkan kebenaran daripada perkara yang dipertikaikan.

Maka kerana itu, kebenaran hanya akan dapat diperolehi jika maklumat yang diperolehi dapat ditentukan sahih yang mana akan menjadikan analisanya menjurus kepada kesimpulan yang menemukan kita kepada kebenaran.

Namun jika maklumat yang ada itu telah melalui ‘pencemaran’ atau dimanupulasi maka adalah mustahil kesimpulan yang akan menyerlahkan kebenaran akan dicapai.

Manipulasi melibatkan penyalahgunaan kuasa.  Manipulasi menyebabkan satu bentuk pengaruh yang tidak sah melalui wacana misalnya.

Memanipulasi orang melibatkan memanipulasikan minda mereka iaitu kepercayaan mereka, seperti pengetahuan, pendapat dan ideologi yang seterusnya akan mengawal tindakan mereka.

Manipulator membuat orang lain percaya atau melakukan perkara-perkara yang demi kepentingan manipulator  dan bertentangan dengan kepentingan terbaik daripada mereka yang dimanipulasi.

Kebenaran yang tidak disampaikan dengan cara yang sebetulnya akan menjadi suatu yang tidak benar dan boleh ditafsirkan sebagai suatu yang salah.