To me, the thing that is worse than death is betrayal. You see, I could conceive death, but I could not conceive betrayal.” — Malcolm X

Setiap hari, kita akan melalui dan merasai beberapa perkara kecil yang menyebabkan kita terasa amat menyakitkan iaitu apabila kepercayaan/keyakinan kita telah dikhianati.

Khianat, pengkhianatan dan rasa dikhianati. Perkara ini berlaku dalam kehidupan seharian yang berlaku kerana kelalaian kecil dan berlaku sama ada dengan sedar (sengaja) mahupun tanpa sedar.

Si ketua mengkhianati pekerja; si pekerja mengkhianati ketua. Pemimpin mengkhianati pengikutnya bahkan mengkhianati diri mereka sendiri. Pengkhianatan menghancurkan kepercayaan antara individu, antara pasukan dan seluruh organisasi.

Kesan paling langsung dari pengkhianatan adalah kesan emosional pada orang dikhianati. Secara umum, semakin tinggi atau besar tahap kepercayaan kita ke atas orang lain dan makin semakin mendalam kesan perit pengkhianatan mereka yang akan kita alami.

Dalam banyak situasi, kita tidak menjangka akan berlakunya pengkhianatan. Dalam pekerjaan misalnya.  Percaya akatau tidak, kebanyakan kita apabila dipanggil untuk meghadiri sesi temuduga, kita berasa bahawa kita mempunyai peluang untuk diterima bekerja walaupun kita sedar bahawa sesi temuduga yang dihadiri itu belum tentu lagi akan mendatangkan hasil yang menyokong andaian kita itu.

Maka dengan bersungguh-sungguh kita membuat persiapan bagi menghadapi penemuduga. Kita hadir dengan perasaan yang bercampur-baur namun kita tetap yakin dan percaya si penemuduga akan menjalankan sesi temuduga dengan profesional dan tidak membuat penilaian dan seterusnya membuat keputusan awal berdasarkan tanggapan awal (first impression).

Ini kerana kita berasa yakin dan percaya dengan keupayaan, pengalaman dan kelulusan yang kita miliki adalah bersesuaian dengan kehendak organisasi berkenaan.  Namun malangnya dalam banyak (99%) situasi temuduga, calon dikhianati. Dikhianati?

Ya!

Dalam satu kajian yang dikendalikan oleh John dan Rhonda Hunter di University of Michigan yang diterbitkan di dalam tulisan mereka bertajuk “Validity and Utility of Alternative Predictors of Job Performance” (Psychological Bulletin, July 1984, pg. 90), yang bertujuan melihat bagaimana temuduga berguna dan membantu meramalkan setepat mungkin kejayaan seseorang itu di alam pekerjaannya.

Hasilnya amat menarik yang mana melalui sesi temuduga, organisasi hanya boleh mengenal pasti dan mengambil bekerja calon yang terbaik memenuhi keperluan organisasi berkenaan kurang daripada 2% calon yang ditemuduga.

Hairan? Mengapa pula begitu, anda bertanya. Jika demikian, mengapa masih perlu dianjurkan sesi temuduga dan apa faedahnya bagi kita untuk menghadirkan diri bagi sesi temuduga?

Sebagai calon pemohon kerja, kita langsung tiada pilihan.  Jika tidak hadir temuduga, sudah pasti kita langsung tiada peluang.  Jika hadir pula, belum tentu peluang itu memihak kepada kita.  Namun apa yang pasti, peluang kita dikhianati memang pada tahap 100%

Mengapa kaedah temuduga tidak berkesan ini masih terus diguna pakai? Ini berlaku kerana kebanyakan penemuduga tiada sistem penilaian kuantitatif yang sesuai serta boleh dipercayai.  Penemuduga kebiasaanya tidak menyusun soalan-soalan yang bersesuaian dengan keperluan organisasi, keperluan perjawatan dan kesesuaiannya dengan calon yang hadir bagi membolehkannya (si penemuduga) membuat penilaian berdasarkan jawapan yang diberikan oleh calon.

Bagi kebanyakan calon pula, ada yang sudah puluhan kali menghadiri temuduga, maka si calon sudah berpengalaman menghadapi penemuduga dan menggunakan pengalamannya itu untuk menonjolkan penampilan yang menarik yang pastinya akan ‘memperdayakan’ si penemuduga untuk membuat keputusan memilih si calon untuk bekerja di organisasi berkenaan.

Sesi temuduga juga sebenarnya tidak lebih daripada sesi minum teh tarik di kedai mamak sambil menonton mana-mana rancangan televisyen atau tayangan video di layar skrin besar.

Matlamatnya tidak lain hanya untuk melihat adakah si calon itu mempunyai ‘hubungan’ dan adakah si calon akan dapat menyesuaiakan diri dan ‘mengikut arus kehidupan’ organisasi berkenaan.

Adil? Mungkin. Namun hakikatnya itu tidak adil.  Orang yang pandai ‘memperdaya’ si penemuduga, 99.99% tidak akan berasa bersalah untuk menggunakan sikapnya itu ke atas orang lain dalam organisasi berkenaan.

Ini pasti berlaku dan pastinya akan mendatangkan kemudaratan kepada organisasi.  Seperti kata pepatah, siakap senohong, gelama ikan duri, cakap bohong (memperdaya), lama-lama mencuri.

Dalam perkhidmatan pula, kita sering kali dikhianati.  Contoh yang mudah dan yang sering kali dialami oleh mereka yang berkhidmat di sektor awam.

Ketika diambil bekerja dan telah diberitahu akan tempat kita bertugas, kita pastinya berasa amat bangga, seronok dan berbesar hati kerana diberikan peluang berkenaan.

Begitu berterima kasihnya kita sehinggakan kita berjanji kepada diri kita sendiri akan menggunakan segala pengalaman, kepakaran dan ilmu yang kita miliki untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada organisasi yang kita ditempatkan.

Namun semangat berkobar-kobar ini akhirnya mulai malap apabila kita sering kali dikhianati dalam menjalankan amanah kita itu.

Biar betul?  Dalam sektor awam yang peranannya untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan membantu pembangunan negara ini berlaku pengkhianatan?

Benar, ianya berlaku di semua agensi sektor awam dari peringkat tertinggi hingga ke peringat paling rendah dalam sektor ini.

Maka sebab itu yang menjadikan sektor ini tidak pernah dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan sepatutnya menjadikan masyarakat sebagai mangsa kepada amalan khianat di kalangan anggotanya.

Percaya? Tidak percaya? Cuba cari maklumat dan teliti amalan dalam sektor ini.  Setiap enam bulan sekali akan berlaku perpindahan di kalangan anggotanya.

Terdapat perpindahan kerana kenaikan pangkat, ada juga perpindahan mengisi kekosongan di tempat lain tanpa melibatkan kenaikan pangkat, ada perpindahan kerana tindakan yang ‘dianggap’ sebagai hukuman, terdapat juga perpindahan suka sama suka antara anggotanya.

Perpindahan yang berlaku ini kononnya adalah sebagai satu daripada kaedah memberikan pendedahan kepada anggota yang terlibat untuk mempelajari perkara baru agar mereka boleh menjadi anggota perkhidmatan yang serba boleh dan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

Hakikatnya itu hanya suku sahaja kebenarannya.  Kebanyakan perpindahan yang dilakukan adalah suatu bentuk pengkhianatan orang tertentu dalam perkhidmatan ini ke atas anggota perkhidmatan lain.

Dalam kebanyakan situasi, anggota perkhjidmatan yang dipindahkan itu akan dihantar ke agensi yang sebenarnya tidak memerlukannya atau paling tidak pun tidak memerlukan pengalaman anggota berkenaan atau dalam banyak situasi anggota perkhidmatan yang dipindahkan itu tidak mempunyai pengalaman yang benar-benar diperlukan di agensi barunya.

Anggota perkhidmatan yang dipindahkan itu pula perlu menyesuaikan diri dengan situasi di agensi barunya.  Banyak masa perlu dikorbankan bagi memastikan dia dapat mempelajari semua perkara baru. Selain daripada itu, tempoh penyesuaian itu juga akan menyebabkan berlakunya banyak kekeliruan dan kekeliruan akan membawa kepada kesilapan dan kesilapan akan menyebabkan kerugian – masa, tenaga dan sumber.

Bukankah ini suatu usaha yang sia-sia yang memeritkan lagi ketidakcekapan yang sedia wujud dalam sektor awam?

Mengapa perkara ini terus berleluasa?

Bukankah setiap anggota perkhidmatan yang diambil bekerja seharusnya mempunyai kemahiran dan kepakarannya yang boleh digunakan untuk membantu meningkatkan lagi kecekapan penyampaian perkhidmatan sektor awam?

Sememangnya begitu adalah hasrat murninya namun kerana terdapat ramai pengkhianat dalam sektor ini, itu tidak tercapai.

Anggota perkhidmatan yang khianat ini tidak mempedulikan semua itu kerana dia hanya memikirkan bahawa kemahuan dan keperluan dirinya sahaja yang perlu didahulukan dan dia berasa bahawa dia boleh memberikan sumbangan yang lebih lagi. Maka sebab itu, si pengkhianat akan mengkhianati anggota perkhidmatan lain walaupun anggota berkenaan rakannya sendiri.

Bagi si pengkhianat, tiada sumbangan yang lebih besar yang boleh disalurkannya selain daripada memuaskan nafsu serakahnya dengan menggunakan ruang dan kedudukannya untuk meraut sebarapa banyak peluang yang ada untuk memenuhkan kantung dirinya dan juga suku sakatnya.

Maka kerana itu kita dapati banyak perkara yang dilaksnakan tidak dirancang dengan betul malah tiada perancangan pun yang dibuat kecuali perancangan untuk mengikis semua sumber yang ada  untuk memenuhi kepuasan dirinya semata-mata.

Anggota perkhidmatan yang menjadi mangsa pengkhiantan itu pula, akan terus dibelenggu kesulitan yang mana pada akhirnya akan dilihat sebagai tidak berkeupayaan untuk menjalankan tugas.

Disebabkan ramai di kalangan anggotan perkhidmataan sektor awam yang saling khianat mengkhianati antara satu sama lain, maka mangsa pengkhianatan tadi akhirnya dicap sebagai tidak cekap dan tidak beruapa mendokong dan mencapai matlamat organisasi.

Akhirnya mangsa pengkhianatan itu tadi akan memperolehi pengkhianatan paling besr dalam kerjayanya apabila dirinya tidak lagi diberi peluang untuk membuktikan keupayaannya untuk menjalankan tugas.

Malang sungguh.

—————————————————

Seperti dedalu api hinggap ke pohon kayu: hinggap ke batang, batangnya mati; hinggap ke ranting, rantingnya patah. Takrif : Orang yang jahat (khianat) apabila berhimpun dengan orang baik-baik, nescaya binasalah orang baik-baik itu. Sumber : Kamus Istimewa Peribahasa Melayu