Subsidi secara mudah pemahamannya adalah suatu bentuk jaminan harga.

Salah satu tujuan awal pengenalan subsidi ke dalam mana-mana ekonomi (Negara) adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah (miskin) dengan harapan pengagihan ekonomi lebih setara.

Kebanyakan subsidi berterusan dilaksanakan dengan andaian bahawa kenaikan harga akan berlaku dan mengambil kira anggaran tempoh harga tinggi itu kekal.  Andaian ini yang menjadikan skim subsidi di kebanyakan negara dikekalkan pada suatu tempoh yang lama sehingga ia adalah suatu tindakan yang sukar untuk ditarik balik.

Untuk memberikan subsidi, kerajaan harus meningkatkan pinjamannya dan berusaha untuk meningkatkan pendapatan tambahan dari sumber lain atau mengurangkan pengeluaran untuk produk atau perkhidmatan awam yang lain.

Jika subsidi digunakan untuk menstabilkan atau menurunkan harga, tindakan ini akan membolehkan pengguna tidak perlu menyesuaikan sikap berbelanja mereka dan melalui pengenalan subsidi, pengguna akan memperolehi insentif kewangan untuk membeli dengan banyak (berlebihan) komoditi yang disubsidikan.

Sejak akhir tahun 2003 beberapa kerajaan telah berusaha untuk mengurangkan subsidi. Beberapa negara telah mampu melakukannya tanpa banyak rintangan. Namun terdapat juga beberapa negara tidak berupaya melalukannya kerana kedudukan politik mereka terlalu lemah untuk menghadapi risiko penentangan dan telah mengambil keputusan untuk mengekalkan skim subsidi yang sedia ada.

Skim subsidi akan runtuh bukan kerana beban fiskal menjadi terlalu tinggi tetapi kerana kekurangan sumber akibat skim ini. Maka kerana itu adalah penting skim subsidi dikaji semula.

Penstrukturan semula, mengkaji semula malah menghapuskan subsidi bukan suatu yang mudah. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, subsidi adalah jaminan harga dan kerana itu ia bukan suatu aktiviti yang produktif dalam sistem ekonomi. Pendapat yang menyatakan kajian semula skim subsidi akan memberikan mendatangkan situasi ‘menang-menang’ bagi semua pihak adalah suatu pendapat yang cuba mengelirukan kita kerana dalam mengendalikan subsidi pasti aka nada yang menanggung kerugian.

Penstrukturan semula skim subsidi pastinya akan menjadikan pengagihan dan penggunaan sumber dalam ekonomi  dapat ditingkatkan kecekapannya. Sebagai contoh andaikan terdapat tiga orang atlet (Atlet A, Atlet B dan Atlet C) yang bersaing dalam acara larian pecut 100 meter. Andaikan bahawa Atlet A pelari yang lebih kuat berbanding Atlet B dan C manakala Atlet B dan C pula sama keupayaannya.

Pemenang akan memperolehi RM1juta dan yang kalah tidak akan memperolehi sebarang hadiah. Ini akan menyaksikan Atlet B dan C akan mengerahkan usaha yang sangat sedikit kerana mereka tahu bahawa mereka tidak boleh bersaing dengan Atlet A.

Akan tetapi jika Atlet B dan C mengerahkan usaha yang sangat sedikit, maka Atlet A tidak memiliki insentif untuk mengerahkan upaya yang terbaik.

Jika kita andaikan pula jika pemenang pertama akan mendapat RM700 ribu dan pemenang kedua mendapat RM300 ribu, maka sudah pasti Atlet B dan C akan mengerahkan usaha yang lebih tinggi kerana mereka akan cuba merebut untuk mendapat tempat kedua.

Usaha yang lebih oleh Atlet B dan C juga akan mendorong Atlet A untuk meningkatkan usahanya. Agregat usaha akan lebih tinggi.  Oleh kerana itu, pengagihan RM1juta berkenaan menyebabkan peningkatan dalam usaha agregat.

Terdapat juga pandangan Keynesian pengurusan dasar ekonomi makro di mana subsidi boleh digunakan untuk meningkatkan pengeluaran atau permintaan agregat. Jika kita menyetujui kenyataan bahawa subsidi perlu dibiayai melalui cukai, maka penghapusan subsidi mungkin juga bermakna pengurangan cukai. Pengurangan cukai boleh merangsang ekonomi.

Realitinya, cukai tidak berkurang jika subsidi dihapuskan dan juga tidak ada tentu hubungan yang kuat antara subsidi dan cukai. Kerajaan sememangnya melaksanakan belanjawan deficit  dan tentu saja, jika subsidi terus dikekalkan makan belanjawan kerajaan akan terus menyaksikan pelebaran defisit, maka ini jelas menunjukkan bahawa kesan penerusan subsidi dan belanjawan defisit akan menyaksikan peningkatan kadar bunga yang juga akan mempengaruhi malah akan mengurangkan prestasi ekonomi.

Penstruskturan semula subsidi yang terbaik harus dilakukan secara berperingkat kecuali jika berlaku krisis ekonomi menjadi pemangkin kerpada penstrukturan malah penghapusan subsidi secara drastik. Penstrukturan berperingkat akan membolehkan penerima subsidi mempunyai waktu untuk penyesuaian yang mencukupi apabila sampai waktunyaa subsidi dihapuskan sama sekali dan dalam masa yang sama dapat memberi ruang kepada kerajaan untuk mengkaji pengagihan sumber dari subsidi itu yang boleh disalurkan.

Penstrukturan semula subsidi sebenarnya tidak dapat dielakkan.  Sama ada kita yang menjadi penerima manfaat daripada subsidi itu atau yang menjadi penyumbang kepada subsidi itu, pasti ada pihak yang perlu menanggung akibatnya.

Apa yang perlu sekarang, kita perlu bersedia untuk menghadapi scenario apabila subsidi tidak lagi dihampurkan dengan banyak dan pada ketika itu amat penting kita menggunakan kebijaksanaan serta hak kita sama ada sebagai pengguna mahupun sebagai individu untuk mempertahankan apa yang menjadi hak kita atau yang sepatutnya kita perolehi atau nikmati.

Apabila masanya sampai, tiada lagi perlindungan yang mana ketika ini perlindungan yang diperolehi itu tidak lebih daripada memberikan perlindungan kepada si udang yang sentiasa berada dan berselindung di sebalik batu.