Sepanjang masa kita membuat banyak keputusan dan kadang-kadang keputusan yang kita buat itu tidak bersandarkan logik dan boleh dikatakan bahawa kebanyakan keputusan yang dibuat sememangnya ada sangkut pautnya dengan emosi kita.

Membuat keputusan adalah proses kognitif di mana hasilnya adalah satu pilihan di antara alternatif yang ada.

Beberapa keputusan yang kita buat adalah di atas pilihan kita sendiri namun dalam banyak situasi kebanyakan keputusan adalah dipaksakan ke atas kita.

Aspek yang paling penting dalam membuat keputusan adalah sebanyak atau sekerap yang boleh keputusan yang dibuat itu adalah keputusan yang tepat. Keputusan yang tepat biasanya menyelesaikan masalah tetapi keputusan yang salah mengakibatkan lebih banyak keputusan lain yang diperlukan untuk memperbaiki kesilapan dalam keputusan awal.

Biasanya dalam proses membuat keputusan, kita haruslah mengutamakan tiga perkara iaitu: (i) Proses Membuat Keputusan, (ii) Orang yang Membuat Keputusan dan (iii) Keputusan yang dijana itu.

Terdapat beberapa keputusan yang telah dibuat tidak boleh ditarik balik.  Oleh yang demikian adalah sangat penting dalam kes ini bahawa itu adalah keputusan yang difikirkan dengan baik dan bukan keputusan yang tergesa-gesa.

Membuat keputusan adalah sebahagian dari tanggungjawab dalam kehidupan kita. Keputusan-keputusan yang betul akan membebaskan kita daripada masalah dalam hidup dan keputusan salah akan menjadi beban kita.

Banyak keputusan yang kita buat adalah berteraskan kesimpulan mental yang didasarkan pada pengetahuan dan pengalaman serta sifat kita.

Beberapa keputusan yang dipaksakan kepada kita dan kerana itu kita harus menggunakan sepenuhnya pengetahuan dan pengalaman kita untuk menilai dan melaksanakan apa yang telah diputuskan itu. Namun dalam beberapa keadaan kita tidak memiliki pengetahuan atau pengalaman yang bersesuaian bagi penilaian itu.

Oleh yang demikian, kita harus mencari seseorang yang memilikinya dan mendapatkan nasihat kepakaran daripada mereka. Namun kebanyakan kita tidak berbuat demikian.  Mengapa? EGO.  Ego kita menekankan bahawa kita mengetahui semuanya dan tidak mungkin akan membuat keputusan yang buruk. Sejarah telah membuktikan banyak kesilapan yang mengakibatkan banyak kesan dan kos yang perlu ditanggung malah menyebabkan orang lain juga terpaksa menanggung akibatnya.

Semakin tinggi kita berada di tangga kehidupan adalah lebih kritikal kita membuat keputusan yang betul dan bersesuaian kerana keputusan yang kita buat itu akan mempengaruhi kehidupan ramai orang. Keputusan yang kita buat juga harus tidak mencipta situasi di mana kita mungkin hilang kawalan ke atas situasi yang berkaitan sehingga situasi berkaitan ‘mengendalikan’ kita kerana jika ini berlaku, kita tidak lagi bebas membuat pilihan dan keputusan.