Hubungan komunikasi, kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen organisasi merupakan pembolehubah yang penting dalam kejayaan sesebuah organisasi.

Pace dan Faules (1994) menyatakan bahawa komunikasi dua hala jenis terbuka, jelas dan saling mempercayai akan dapat mempengaruhi darjah komitmen seseorang pekerja terhadap organisasinya. Apabila seseorang pekerja menerima maklum balas yang positif tentang sifat pekerjaan di organisasi dan prestasinya dengan persetujuan pihak atasan, seseorang pekerja itu akan mempunyai darjah komitmen yang lebih tinggi terhadap pekerjaannya dan organisasinya. Peningkatan darjah komitmen terhadap organisasi ini melibatkan proses komunikasi ke bawah dari pihak atasan kepada pekerja bawahan.

Menurut Planty dan Machover (1952), komunikasi ke atas membolehkan pekerja diberi peluang untuk mengemukakan persoalan atau menyumbangkan cadangan dalam urusan organisasi. Ini melahirkan reaksi afektif yang positif seperti kepuasan kerja dan komitmen kepada organisasi di kalangan pekerja.

Komitmen organisasi diukur berdasarkan tahap komitmen pekerja terhadap organisasi tempat ia bekerja. Darjah atau tahap komitmen kepada organisasi ini diukur dengan menggunakan alat yang direkacipta oleh Porter and Smith (1970, dlm. Mowday et al. 1982). Alat ini dikenali sebagai Organizational Commitment Questionaire (OCQ) yang mengandungi 15 item iaitu 9 item positif dan 6 item negatif.

Dalam organisasi besar seperti perkhidmatan awam, ramai yang mempunyai komitmen yang tinggi dalam menyumbang bakti memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.  Sungguhpun demikian tidak dapat dinafikan ramai juga yang menjadikan kedudukan dan jawatan yang mereka pegang (dari yang tertinggi sehingga yang paling rendah) dalam perkhidmatan awam sebagai batu loncatan untuk mendapatkan sesuatu bagi memenuhi nafsu serakah masaing-masing.

Mereka ini yang menjadikan imej kerajaan tercalar pada pandangan masyarakat umum yang secara sinisnya beranggapan, perkhidmatan awam itu tidak cekap yang sering kali menyusahkan.

Brown et al. (2000) telah menjelaskan bahawa perkhidmatan yang tidak berkualiti dalam sektor awam dapat diatasi jika para penjawat awam lebih cekap, memfokus kepada pelanggan, telus, dan mempunyai akauntabiliti yang tinggi. Oleh itu, Siddiquee (2006) mencadangkan agar prestasi penjawat awam perlu diberi perhatian yang serius dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di Malaysia.

Siddiquee (2006) juga menyatakan bahawa prestasi penjawat awam dan sektor awam secara keseluruhannya boleh ditingkatkan melalui tahap komitmen yang lebih tinggi dalam kalangan penjawat awam pada peringkat sokongan mahupun pengurusan.

Selain itu, Firth, Moore, dan Loquet (2004) mendapati komitmen pekerja dipengaruh tahap sokongan pihak pengurusan, manakala Bishop, Goldsby, dan Neck. (2002) mendapati jaminan pekerjaan amat penting dalam meningkatkan tahap komitmen para pekerja.

Pekerja akan kekal dalam organisasi sekiranya hak mereka seperti gaji, pencen, kekananan, dan sebagainya tidak dikurangkan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak majikan (Meltz, 1989). Kajiankajian oleh Leana dan Feldman (1992), Burke (1997), dan Yousef (1997) mendapati pekerja yang berpuas hati dengan jaminan pekerjaan menunjukkan tahap komitmen yang lebih tinggi dan keinginan untuk berhenti yang rendah.

Namun kita harus ingat pada peribahasa Melayu : Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Peribahasa ini bermaksud jika berbuat baik jangan berlebihan dan jangan sesekali membuat kejahatan.

Peribahasa ini menggesa kita sentiasa berbuat kebaikan tetapi dalam batas-batas tertentu. Komitmen yang tertinggi terdadap kerja dan organisasi harus mengguna pakai peribahasa ini sepanjang masa yang amat penting sebagai kayu ukur dan juga sempadan.

Perlu diingat bahawa ramai di kalangan kita yang tidak faham akan maksud komitmen serta sering kali menyalah tafsir akan maksudnya.

Maka kerana salah tafsir (atau lebih tepat lagi adalah mentafsir mengikut kepentingan diri) maka ramai di kalangan pekerja yang terjebak ke perangkap – kita perlu beri komitmen sepenuhnya kepada organisasi untuk menjayakan matlamat – sedangkan ia sebenarnya adalah usaha oleh pihak tertentu untuk menggunakan kita bagi kepentingan peribadi masing-masing.

Oleh itu Buat baik berpada-pada.