Pengalaman aku berinteraksi dengan orang Cina sewaktu kecil amat terhad. Penduduk Cina di kampung tidak bersekolah di kampung. Mereka ke pekan untuk bersekolah di sekolah Cina. Setiap pagi mereka akan menunggu bas di depan rumah. Aku hanya mengintai dari beranda rumah. Kaum ibu akan ke pasar setiap hari membeli lauk. Juga akan tunggu bas depan rumah. Kami hanya berbalas senyum. Tetapi berlainan pula dengan seorang wanita Cina yang dipanggil Nyet. Kerap kali sebelum naik bas, beliau akan singgah ke rumah untuk bersembang dengan mak. Dengan bahasa Melayu pasar entah apa yang dibualkan. Aku hanya mendengar tapi tak indah. Belum sekolah lagi. Perbualan orang tua jangan disampuk. Jangan dekat dengan orang tua yang sedang berbual. Sembunyikan diri sehinggalah dipanggil barulah berani menjenguk muka.

Bila aku ke rumah kakak di bandar, sekali sekala ada kawannya berbangsa Cina datang ke rumah. Setiap kali datang, pipi aku dicubitnya kerana geram. Lantaran itu setiap kali geng mereka datang aku lari menyembunyikan diri. Tapi ke manalah nak pergi. Duduk di townhouse hanya boleh lari ke bilik tidur sajalah. Lain di kampung aku boleh bermain di bawah rumah.

Bila bersekolah rendah, kebanyakan murid-murid adalah orang Melayu. Murid-murid berbangsa Tamil adalah anak tukang kebun. Tak ingat namanya. Tapi yang aku ingat hanyalah anaknya Vasugi, Letchumi dan Raju. Semuanya fasih berbahasa Melayu. Yang lain mungkin dah remaja jadi tak lagi bersekolah di situ. Tapi abang dan kakak pernah bawa aku bermain di rumah mereka. Lepak-lepak di sana. Bila bapanya mati mereka pun pindah dari kampung.

Pun begitu di kampung ada seorang Cina Muslim.  Memang datang dari China, terpaksa melarikan diri ke Malaysia kerana menentang Komunis. Meninggalkan kaum keluarga dan komuniti Muslim, hanya sebatang kara di Malaysia. Pernah aku mendengar bagaimana Komunis memusnahkan Quran dan orang Islam dibunuh. Sehingga akhir hayatnya tak pernah aku dengar dia berkahwin. Yang aku ingat, ketayap tak pernah lekang dari kepala. Dia membaca akhbar Cina, tapi lebih senang berbahasa Melayu kerana diam di kampung Melayu. Makan menggunakan penyepit. Mungkin sebab itulah aku membezakan antara bangsa dan agama. Semuanya atas sebab pemerhatian aku kepada si Cina Muslim ini.

Bila bersekolah di bandar, aku ditempatkan dalam kelas Khas. Hanya orang Melayu dalam kelas. Diam di asrama pun orang Melayu saja sehinggalah asrama dibuka untuk murid-murid buta dari semua bangsa. Pergaulan aku terhad. Aku pendiam, jadi hanya memerhati dari jauh murid-murid Cina ini. Bila naik tingkatan empat, barulah ada kelas campur. Tapi dalam kelas aku majoriti orang Melayu. Kami bergaul baik dan masing-masing cakap Melayu. Tak ada yang ‘speaking’. Selalunya yang ‘speaking’ ni yang dari kelas A. Ada Cina Methodist dan ada yang beragama Buddha. Mereka tidak fasih berbahasa Mandarin kerana bersekolah di sekolah kebangsaan. Hanya faham dialek kaum masing-masing. Biasanya Hokkien. Waktu inilah aku mula memahami budaya mereka dan agama mereka. Semua perayaan kami sambut dengan makan. Ini termasuklah dengan bangsa-bangsa lain seperti Tamil dan Punjabi.

Sewaktu tingkatan enam, kebanyakan pelajar sekolah Cina yang berdekatan akan meneruskan pengajian di sekolah kami. Bilangan mereka amat ramai kerana kebanyakan pelajar asal sekolah kami telah keluar melanjutkan pelajaran di universiti dan kolej. Tak ramai yang masuk tingkatan enam. Tingkatan enam adalah pilihan terakhir. Tapi bagi pelajar dari sekolah Cina ini, inilah pilihan yang ada. Dulu tak banyak kolej dan universiti swasta. Yang ada hanyalah universiti tempatan bagi murid yang tidak kaya. Jadi tingkatan enam adalah satu kemestian. Ramai kawan Melayu yang balik kampung  bila melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Hanya aku saja yang malas tukar sekolah. Malas isi borang sebenarnya dan naik pejabat turun pejabat. Dalam kelas kami hanya ada 6 orang Melayu yang lainnya Cina, Tamil, India Muslim dan lain-lain.  Sebab saling tidak mengenali maka kami tidak rapat. Masih ada prasangka sebab sekolah rasanya, bukan sebab bangsa. Tapi kalau kita yang memulakan perbualan, maka kita akan dilayan dengan baik. Sehingga tamat tingkatan enam dapatlah disimpulkan yang masalah kami semua adalah bahasa. Mereka tidak fasih berbahasa Melayu dan kami tidak pandai berbahasa Cina. Tapi masing-masing cuba yang terbaik. Ketua kelas kami cantik orangnya. Bapanya Kantonis sedangkan emaknya Hokkien. Dialah penghubung antara bangsa sebab kemahiran bahasanya yang banyak. Setelah habis tingkatan enam adalah sekali aku bertemu dengan Swee Sian dengan kawan-kawan yang lain sewaktu bekerja sebagai pengasuh. Hanya berapa kerat saja antara kami yang ke universiti. Yang lainnya bekerja dan mengambil jurusan professional seperti Akauntan dan Setiausaha. Swee Sian yang menegur aku dulu sebenarnya. Ang Swee Sian, kalau kau baca artikel ni tolonglah hubungi aku balik. Apa jadi dengan kawan-kawan kita yang lain?

Bila keputusan STPM dikeluarkan, ramailah yang merah mata kerana menangis. Kalau dulu aku fikir orang Cina mesti pandai. Sebenarnya tidak. Yang dikatakan pandai adalah orang yang rajin belajar. Kemahiran bahasa adalah satu aset. Mereka tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik, jadi segala teori yang diajar dalam bahasa Melayu amat sukar bagi mereka. Mereka perlu berusaha gigih. Mengatasi halangan bahasa dan menguasai ilmu. Kebanyakan pelajar kelas aku hanya mendapat 3 – 5 Prinsipal sederhana. Tak cemerlang pun. Terkejut jugak kerana mereka nampak rajin belajar. Menurut mereka, pelajar pandai di sekolah Cina adalah orang Melayu. Memang pun kerana pelajar Melayu dari sekolah Cina yang mendaftar di sekolah aku hanya sebulan saja datang ke sekolah kerana mendapat tawaran matrikulasi dan ke luar negeri. Pelajar Melayu ini ke sekolah dengan berbaju kurung dan bertudung. Tapi cakap Mandarin macam air deras. Tapi sifat Melayu tak tinggal. Tak makan di kantin sekolah. Bawa bekal dari rumah. Kat sekolah aku? Sewaktu zaman aku bersekolah kami orang Islam tidak berani beli barang makanan orang Cina walaupun tidak ada makanan haram. Bila aku di tingkatan enam, aku tengok junior dengan beraninya membeli makanan bermasak tanpa segan silu. Konon lebih sedap. Zaman dah berubah.

Zaman yang aku cerita ini adalah awal 1990-an. Mungkin keadaan sekarang telah berubah. Aku tidak mengetahui akan hal rasis sehinggalah masuk ke alam pekerjaan.

-SNASH-