Tempoh lima (5) tahun bukan suatu yang panjang.  Pejam-celik, 1,825 hari berlalu tanpa kira rasai kecuali bagi meraka yang melaluinya dengan sepenuhnya.

Bagi kita yang tidak mempunyai sebarang matlamat dalam kehidupan, lima (5) tahun mungkin panjang malah lima minit sahaja sudah cukup lama.

Bagi mereka yang bercita-cita besar dan berasa ada matlamat besar dalam kehidupannya – berhasrat untuk melakukan sesuatu yang kononnya untuk kepentingan bersama (siapa yang bersama kita jika kita tidak ada kepentingan kepada orang lain?), tempoh lima (5) tahun itu tidak lama.  Malah terlalu singkat.

Namun pada situasi yang sama, tempoh itu sebenarnya sudah cukup lama, jika hasrat dan matlamat besar itu disediakan kerangka kerja yang teratur, terperinci dan dilaksanakan mengikut jadual yang disediakan dengan mengambil kira sebarang kemungkinan dan perubahan yang perlu dilakukan dalam tempoh pelaksanaannya.

Ini yang sebenarnya dilakukan oleh kebanyakan kita dalam kehidupan seharian.  Cuma kesannya hanya kita yang merasainya.  Apabila diangkat ke situasi dalam organisasi, hal ini dikatakan pengurusan.

Apa yang hairannya ialah tidak ramai di kalangan kita yang boleh mengurus. Kebanyakkan kita beranggapan, pengurusan harus dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai kelayakan dalaam bidang ini.

Namun adakah kita perasan bahawa mereka yang mempunyai kelayakan mengurus ini sering kali melingkupkan organisasi?  Tidak percaya.  Sila semak sejarah dan kes-kes pecah amanah yang dibicarakan di mahkamah-mahkamah di Negara kita dan juga di luar Negara.

Kes-kes pecah amanah dari sekecil-kecilnya kepada bilion ringgit boleh dikatakan adalah majoriti kes yang dibicarakan.

Pernah terdengar : ala bukannya orang tahu.  Kalau kita tak buat (ambil) orang lain akan buat (ambil).

Mengapa ya?  Ini kerana kini kebanyakan dari kalangan ahli masyarakat sudah tidak lagi mengendahkan nilai-nilai murni yang menjadi santapan kerohanian.

Kewarasan sudah tiada sehinggakan sanggup menyebabkan ketidak stabilan dalam kemakmuran kehidupan sejagat.

Bayangkan jika 90% ahli masyarakat kita berfikiran sedemikian?  Tidakkah ini menjadikan hanya mereka yang kuat dan berkuasa sahaja yang mendapat kenikmatan hidup ini?  Sedangkan bumi ini dicipta untuk menampung keseluruhan kehidupan makhluk?

Jika kita sebagai manusia yang diberikan akal fikiran dan jiwa tidak mampu menggunakannya dnegan sempurna, maka kita tidak lagi penting dan boleh menjadikan kehidupan di dunia ini makmur.

Apabila ini berlaku, maka hanya ada satu pilihan sahaja yang boleh diambil – perlu dikembalikan kemakmuran itu.  Bagaimana? Mudah iaitu dengan menyingkirkan ketumbuhan jijik itu.

Kita perlu bangkit mengubah keadaan.

Ini yang boleh kita lakukan dalam organisasi dan sistem pengurusan dan pentadbiran.

Dalam sistem pentadbiran demokrasi berpelembagaan, setiap tempoh lima (5) – bagi negara ini – akan dilaksanakan pemilihan wakil-wakil rakyat yang akan menjadi proksi masyarakat setempat untuk mengubal undang-undang dan menyelesaikan permasalahan umum masyarakat bagi membolehkan kita hidup makmur dalam suatu sistem masyatakat dan negara yang berdaulat.
Penulis percaya ramai di kalangan pembaca telah melalui proses ini dan telah membaca dan mendengar pelbagai ulasan berhubung sistem pemilihan dan kesannya kepada kita.

Dalam situasi pemilihan, pelbagai janji atau hasrat (terkandung dalam manifesto) dipersembahkan kepada kita (pemilih) dan dikatakan akan dilaksanakan jika calon terpilih mewakili kita.

Hairannya janji atau hasrat itu sebenarnya bukan apa yang kita hendaki.  Betul? Kalau tidak betul mengapa apabila calon yang menawarkan diri atau diminta bertanding itu terpilih hasrat kita tidak ditunaikan? Hasrat yang mana, mungkin pembaca bertanya. Jawapannya bukan ada pada kita tetapi pada aduan-aduan yang kita dengar.  Mengapa rancnagan seperti Aduan Rakyat, 360 dan sebagainya popular?  Mudah saja jawapanya kerana apa yang dijanjikan dan hasrat yang terkandung dalam manifesto itu tidak sama dengan hasrat dan harapan yang kita tetapkan kepada si calon untuk menjadikan kehidupan kita lebih makmur.

Maka jangan kita biarkan keadaan kepincangan dan kerugian berlarutan dan menghimpit kita.  Jangan biarkan ia berlalu tanda diendahkan.

Tidak perlu tunggu pemilihan yang dijadualkan.  Gunakan hak kita untuk bersuara dan mendapatkan maklumat.  Sebagai manusia yang waras, gunakan kewarasan apabila berhadapan dengan keadaan ini. Kumpul maklumat selengkapnya dan persembahkan kepada mereka yang berkaitan untuk dibincangkan bagi mendapatkan hasil yang dapat mendatangkan kemakmuran bersama – bukannya untuk dipertimbangkan yang mana ia tidak akan dibincangkan dan akhirnya dijadikan alasan untuk tidak bertindak.