Bahasa menunjukkan bangsa. Berbudi bahasa amalan hidup masayarakat kita. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Betul?

Mungkin betul mungkin tidak.  Betul kerana itu yang diajar dan disematkan kepada kita sejak kita mula berakal dan mengenali dunia ini melalui tunjuk ajar dan bimbingan ibu bapa dan keluarga kita.

Mungkin tidak kerana kebanyakan (jika dikatakan 99% – tiada penemuan kajian malah tiada kajian pun yang dibuat) kita sudah tidak berbahasa dengan betul malah keliru berbahasa.  Ada yang mengaku dirinya keturunan X tetapi tidak pun tahu berbahasa X malah lebih gemar menggunakan bahasa Y.  Oleh yang demikian, layakkah dia dikatakan bangsa X?

Jika sudah tidak boleh berbahasa X bagi seorang yang mengaku dirinya keturunan X, maka sudah pasti boleh dirumuskan bahawa dia tidak boleh berbudi bahasa mengikut aturan dan budaya bangsa X? Boleh?  Tidak boleh? Jawapnya sudah pasti boleh.

Lihat sahaja dalam kehidupan seharian kita, jika seseorang itu dalam kesulitan, amat jarang sekali kita menyatakan : boleh saya bantu?  Sebaliknya apa yang sering terlampir di gegendang telinga kita dan menusuk hati, perasaan dan ego kita ialah : apa masalah awak?

Itu tandanya tidak ada elemen budi bahasa.  Memang kita digalakkan berterus-terang (direct to the point) namun jika hendak menyelesaikan sesuatu kekusutan, mengapa perlu gopoh?

Penyelesaian segera bukan maksudnya menyelesaikan masalah.  Seperti juga amalan biasa apabila kita makan, kita tidak akan memasukkan makanan itu ke dalam mulut tanpa melihatnya dahulu (walaupun seketika), mengkin mencubit, memotong atau mencarikkannya sedikit, dimasukkan ke dalam mulut, dikunyah beberapa kali (kalaupun tidak sehigga 44 kali) sebelum menelannya.

Jika kita tidak melihat apa yang kita masukkan ke dalam mulut dan terus menelan sahaja makanan itu, itu bukan kesalahan tetapi mungkin dan selalunya akan menimbulkan kesulitan kemudiannya. Kita mungkin tercekik ataupun akan mengganggu sistem penghadaman kita yang mana akhirnya akan menyebabkan keseluruhan sistem badan kita akan terganggu.

Dalam kehidupan seorang manusia, apabila sistem badan terganggu, lebih banyak kesulitan yang timbul yang mana ia pastinya menyusahkan individu terbabit dan yang lebih malangnya menganggu dan menjejaskan kemakmuran orang lain.  Bayangkan kerana kita gopoh dan gelojoh ketika makan, kalaupun kita tidak tercekik, sistem penghadaman kita mungkin terganggu.

Bagi mereka yang mempunyai ketahanan yang kuat pada perut dan ususnya, dia tidak mungkin akan mengalami sembelit atau cirit birit tetapi kegolojahan itu menyebabkan sistem penghadaman terpaksa bekerja lebih – merembeskan lebih enzim selain perlu mengembang – mengejut lebih aktif.  Apa kaitan semua ini?  Tiada kaitan? Ada.

Apabila sistem badan kita terpaksa bekerja lebih, lebih banyak sumber – oksigen diperlukan kepada sistem yang bekerja lebih itu.  Akibatnya, oksigen kurang dihantar ke otak – organ yang paling penting dalam menjaga keharmonian dan kemakmuran sistem badan manusia.

Apabila ini berlaku, maka kita sukar berfikir dengan waras.  Akibatnya … kita tidak waras (istilah yang lebih manis berbanding GILA).  Orang yang tidak waras sudah pastinya menjejaskan kemakmuran orang lain.  Tidak percaya – cuba berada untuk 45 minit sahaja di wad khas merawat orang yang tidak waras. Ini pasti akan dapat ‘menyedarkan’ kita bertapa pentingnya kita berbudi bahasa.

Oleh itu, dalam apa sahaja situasi kita, keadaan dan kedudukan kita, ingat kembali dan amalkan budi bahasa dalam kehidupan.

Kejayaan seseorang dan kejayaan organisasi tidak diukur berapa kayanya anda atau berapa banyaknya keuntungan yang dijana dari peluang perniagaan yang diperolehi, berapa hebatnya anda bercakap, berdebat dan menegakkan benang basah atau berapa hebatnya anda mempamerkan ego anda tetapi sebenarnya dilihat malah dinilai berapa hebatnya anda mengamalkan budi bahasa dalam kehidupan anda.

Malang sekali kepada mereka yang tahu menggunakan BB (BlackBerry) namun tidak berupaya menggunakan BB (Berbudi Bahasa) dalam kehidupannya.