Pertama kali aku tergerak hati untuk ke gim adalah apabila menonton rancangan Discovery Health Challenge 2004. Enam orang peserta dipilih untuk menjalani latihan senaman dan pemakanan bersama jurulatih peribadi. Pada masa yang sama terus menjalani hidup seperti biasa, bekerja dan bersosial. Pada aku rancangan itu lebih bagus daripada The Biggest Loser (TBL). TBL lebih kepada promo produk dan drama.  Bila melihatkan kejayaan mereka menguruskan berat badan, maka bersemangatlah aku untuk berbuat demikian. Hairan jugak, sebab rancangan Oprah yang banyak aku tonton pasal mengurangkan berat badan tidak pula menyentuh hati. Dan aku sememangnya tidak percaya pada ubat kurus. Tak ada jalan mudah untuk kurus.

Mulanya aku ke gim terbuka. Aku disuruh buat ujian darah dan air kencing.  Kolestrol tinggi. Itu saja. Yang lain normal kecuali berat badan dan lemak. Tapi gim ni hanya buka waktu tertentu, tidak beroperasi sepanjang masa. Akhirnya aku memberanikan diri pergi ke sebuah gimnasium khusus untuk perempuan. Lebih senang untuk aku.

Hari pertama aku menimbang berat badan, aku disarankan agar turun sehingga 20 kg. Pada aku itu terlalu banyak memandangkan usia yang meningkat dan rangka tubuh yang besar.  Tapi ketinggian aku yang hanya lima kaki menonjolkan kegemukan aku. Aku hanya mahu turun sekitar 10 -12 kg. Lemak pula disuruh kurangkan hingga 17%. Gila betul.

Pemakanan aku dijaga. Kalau banyak makan maka banyaklah senaman. Aku diberi rekod untuk mencatit berat badan dan lemak sebagai rujukan pelatih dan aku sendiri. Aku disarankan makan oat untuk sarapan atau roti hanya sekeping atau keledek rebus. Elakkan gula putih dan tepung gandum tapi nasi digalakkan kerana lebih senang diproses badan, cuma ambil satu mangkuk sahaja setiap sajian. Rasa payah, tapi boleh buat sebenarnya. Kalau minum teh atau kopi, elakkan gula. Akhirnya lidah aku sensitif dengan deria manis. Tajam sungguh bila dapat mengesan rasa gula. Boleh makan yang berlemak tetapi sekali sekala. Jangan tidak langsung nanti kempunan pulak. Air kosong mesti diminum sepanjang masa.

Minggu pertama hanya satu jam saja aku dibenarkan bersenam setiap hari. Aku disarankan datang enam kali seminggu. Dalam satu jam itu aku tidak dibenarkan aerobic. Ini kerana beliau tidak mahu badan aku terkejut dengan perubahan cara hidup.  Hanya senaman ringan, basikal, treadmill 20 minit pada kelajuan 2.2km dan angkat berat adalah satu kemestian. Tidak boleh tinggal. Sepanjang minggu aku pening kepala pada waktu malam.

Minggu kedua kelajuan treadmil ditambah, pendakian juga ditambah serta masa selama 30 minit. Kali ini kesemuanya  selama 2 jam.

Minggu ketiga dan keempat, aku perlu menambah alat senaman. Kali ni disuruhnya aku menggunakan Cross Trainer dan Stepper. Lebih dari 2 jam.

Bulan kedua barulah aku dibenarkan menyertai aktiviti kumpulan seperti aerobic, tarian dan pilates. Setiap hari pukul 8.30 aku dan terpacak depan gim. Satu jam senaman, satu jam aktiviti kumpulan, tapi kali ini setiap aktviti adalah intensif, jadi aku tak perlu lama, hanya perlu lebih cergas. Tapi aktiviti angkat berat merupakan kegemaran. Sebab sambil santai masih dapat bakar kalori walaupun dah berhenti senaman. Angkat disarankan kerana membina otot. Otot walaupun lebih berat dari lemak tetapi lebih kecil saiznya. Walau pun tak turun banyak berat badan, yang penting turunkan peratusan lemak. Bila aku timbang berat badan, jumlah mungkin hanya 3 kg tetapi peratusan lemak turun lebih dari itu. Tetapi digantikan dengan otot. Jadi senaman tidaklah menurunkan berat badan secara drastik tetapi lebih daripada itu ia membentuk rupa tubuh badan. Akhirnya aku tidak lagi kemaruk hendak kuruskan badan. Kini lebih kepada bagaimana hendak membentuk badan yang cantik, rasa segar dan bermaya, gembira dan yakin pada diri sendiri.

Kebanyakan pengunjung waktu pagi adalah suri rumah. Kebanyakannya Cina dan Dayak. Semuanya orang kaya. Datang gim dengan kereta besar. Aku saja yang datang dengan bas. Tapi semuanya ramah dan baik hati dan saling menggalakkan aku mencapai matlamat aku. Mereka juga seperti aku sebelum ini, gemuk dan tidak gembira.

Selepas senaman, di gim tersebut ada kemudahan ‘steam room’ dan bilik mandi berserta dengan loker, kami ramai-ramai lepak di bilik mandi yang sambil menyejukkan badan. Siap bersembang lagi. Bertukar cerita pada anak, famili, alat solek dan macam-macam lagi. Kadang-kadang hampir sejam jugak di bilik mandi. Selepas itu semua bersiap cantik untuk menjemput anak dari sekolah.

Gim tersebut juga adalah sebuah butik kecantikan. Ada spa, solekan, pakaian senaman dan produk lain. Kira lengkaplah bagi seorang perempuan. Baju senaman dari Australia ada dijual. Harganya? Telan air liur bagi aku. Tapi bila ada jualan murah, pasti aku beli sebab jenama tersebut tidak ada di tempat lain hatta di KL pun pada waktu itu. Buatan dan bahan digunakan terbaik. Ada banyak baju senaman dari China di pasaraya, tapi memang rasa perbezaannya. Hingga sekarang, baju mahal aku masih nampak baru berbanding dengan baju murah yang sudah lusuh.  Senaman juga telah menggiatkan aku pada kegilaan membeli-belah. Tapi untuk aksesori ke gim. Kasut, beg, baju, seluar trek dan sebagainya. Sayangnya tak banyak pilihan di Kuching pada waktu itu.

Selepas gim ada yang ambil kesempatan membuat rawatan kecantikan. Biasanya sebulan sekali. Kalau banyak duit, dua kali sebulan. Tapi bukan akulah.

Setiap hari aku teruja bila ke gim. Seronok dapat jumpa kawan baru, luaskan fikiran, asah perbualan. Tak sedar dalam masa 3 bulan aku berjaya mengurangkan berat sebanyak 10 kg. Lemak turun 8%. Bulan kelima aku disahkan hamil. Syukur.

-SNASH-

Advertisements