Kejutan? Mungkin itu yang diharapkan oleh kebanyakan pihak tentang keputusan pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak  2011.

Kejutan jika dilihat definisinya adalah sesuatu yg mengejutkan (meme­ranjatkan), kesan (akibat) yg menyebabkan orang terkejut (terperanjat) dan dalam hal pilihanraya DUN Sarawak 2011 nyata tiada kejutan tetapi mungkin rasa tidak percaya.

BN memenangi pilihan raya negeri ke-10 dengan memperoleh 55 daripada 71 kerusi, kurang tujuh kerusi daripada yang dimenangi gagasan pemerintah pada 2006.

Parti komponen BN yang berasaskan kaum Cina, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sekali lagi menerima tamparan hebat, termasuk kekalahan Presidennya Tan Sri Dr George Chan untuk mempertahankan kerusi DUN Piasau di Miri di tangan seorang calon muka baru daripada DAP. Ini bukan suatu kejutan tetapi sudah dijangkakan.

Tanda-tandanya sudah diperolehi sejak pilihanraya DUN Sarawak 2006 lagi cuma ramai yang tidak mampu melihat dan mentafsir.

SUPP sekadar memenangi enam daripada 19 kerusi, hanya separuh daripada jumlah yang dimenangi parti itu pada tahun 2006, sekali lagi kalah kepada DAP di kesemua 12 kawasan majoriti Cina, membolehkan pembangkang menggandakan kemenangan yang diraih mereka pada 2006.

Tunjang BN negeri, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang diketuai oleh Pehin Seri Abdul Taib Mahmud, mengulangi kejayaan cemerlang parti itu dengan menyapu bersih 35 kerusi yang ditandinginya, Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang lapan daripada sembilan kerusi manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pula meraih enam daripada lapan kerusi.

Jika di kalangan kita yakin bahawa proses pilihanraya dan mengundi adalah asas kepada demokrasi dan adalah menjadi hak kita untuk menentukan demokrasi itu dilaksanakan dengan baik bagi kemakmuran kita maka harus difikirkan bahawa adakah wakil yang kita undi itu akan membawakan pembaharuan untuk meningkatkan kemakmuran kita?

Kita juga harus berani untuk menyatakan bahawa keperluan kita harus diberikan keutamaan untuk diuruskan kerana kita mengundi si wakil berkenaan dan adalah tidak bertanggungjawab jika kita tidak mampu menyatakan bahawa apa yang diusahakan oleh wakil yang kita undi itu tidak menjalankan amanah dan tanggungjawabnya untuk membawakan kemakmuran kepada kita.

Biar wakil yang dipilih itu tahu sekarang, amanah dan tanggungjawab mereka kepada kita bukannya suatu kejutan.