Kisah ini ada persamaan dengan yang hidup dan yang mati.

Puan Y dilahirkan sebagai seorang Cina yang diserahkan kepada keluarga Melayu lantaran kesusahan hidup. Adik beradik yang ramai menyebabkan empat ahli keluarganya diserahkan kepada keluarga Melayu yang berlainan. Kesemuanya perempuan. Ibubapanya hanya mahukan bayaran perubatan dan tanggungan ketika pantang sebagai tanda menyerahkannya kepada keluarga Melayu.

Keluarga Melayu ini bukanlah kaya. Cuma lebih stabil. Mereka juga mempunyai ramai anak. Tetapi memandangkan kasihan kepada keluarga Y, maka anak itu diambil dan dijaga dengan sebaik-baiknya. Diberi pendidikan setakat mampu. Beliau dapat belajar sehingga darjah empat sekolah Inggeris. Hanya setakat itu saja. Lebih baik daripada adik dan kakak angkatnya yang lain yang hanya setakat sekolah rendah saja.

Walaupun dibesarkan sebagai anak sendiri, ayah dan ibu angkatnya masih berhubung baik dengan keluarga Y. Setiap tahun baru Cina, anak kecil itu dibawa beraya bersama. Cuma tidak diterangkan siapa mereka. Cuma kawan ayah. Mungkin hendak ditunjukkan bahawa anaknya telah dijaga dengan baik. Keluarga Y juga bersyukur kerana anak yang dilepaskan itu tidak menderita susah.

Puan Y juga tidak menyangka yang dirinya anak angkat kerana dibintikan dengan nama bapa angkatnya. Kalau adapun prasangka, hal ini diletakan jauh dari kotak fikiran kerana sayangkan ayah dan ibu angkatnya. Orang dulu mana berani bertanya terus kepada orang tua. Segala kemahuan, pendapat semuanya hanya terpendam dalam hati.

Namun rahsia ini bocor juga apabila beliau hendak berkahwin. Bapa angkatnya berterus terang yang beliau tidak boleh mewalikan Y kerana beliau bukan anaknya. Pada hari kenduri, seluruh ahli keluarga Cina turun untuk menyaksikan perkahwinannya. Hari itulah dia diperkenalkan secara rasmi ahli keluarganya. Para jemputan kebanyakannya merasa hiba dan sendu, macam ‘jejak kasih’. Sedangkan tuan empunya diri hanya mendiamkan diri dan tidak menunjukkan sebarang emosi. Terlalu banyak perkara yang bergolak dalam fikirannya. Namun beliau tidak pernah mengaku dirinya seorang Cina.

Setelah berkeluarga, anak-anak dididik dalam suasana persekitaran Melayu, cakap Melayu, pakaian Melayu. Mungkin kerana dia dibesarkan begitu. Anak-anaknya ditekankan untuk mahir bahasa Melayu. Hatta ujian Bahasa Melayu mesti 100 peratus. Kalau tidak harus dicubit anak-anaknya itu. ‘Kita orang Melayu, kenapa tak boleh kuasai bahasa Melayu’.  Kesemua anak-anaknya mengikut iras muka keluarga Cina tapi mendapat kepujian tertinggi dalam bahasa Melayu bagi setiap peperiksaan utama. ‘Malu saja jadi bangsa Melayu kalau tak pandai cakap Melayu’, katanya lagi.

Kesenian dan adat Melayu amat dijaga. Satu cerita anaknya tidak mahu menganyam sarung ketupat kerana baginya sarung boleh dibeli. Tak payah susah-susah diri. Senang saja jawabnya ‘ Ini seni kita, kalau kita tak buat, siapa lagi yang nak buat?’ Terdiam anaknya. Mahu juga belajar menganyam sarung ketupat.

Islam bawa rahmat kepada manusia. Setelah berkahwin barulah beliau mendalami Islam atas bimbingan suaminya. Sebelum ini beliau hanya seorang Melayu. Apabila diajar betapa pentingnya hubungan ibubapa dan anak maka barulah terbuka hatinya untuk berkunjung melawat keluarga kandungnya. Setiap tahun baru Cina beliau akan berziarah keluarga Cinanya bersama suami dan anak-anak. Siap dengan kuih dan angpow untuk kedua ibubapanya. Menangis orang tuanya kerana anak yang tidak dipeliharanya itu datang dan ingat padanya. Bila ibu bapanya sakit dan perlukan kewangan maka dihulur tanpa dalih. Ahli keluarga Cina yang lain hanyalah petani biasa, tidak berpelajaran dan tidak fasih berbahasa Melayu. Percakapan beliau dan ahli keluarga memerlukan jurubahasa. Namun ini tidak merenggangkan hubungan kekeluargaan ini.

Jika ditanya adakah beliau marah atas apa yang terjadi padanya, beliau hanya berkata, ‘syukur sebab diserahkan kepada keluarga Melayu, berkahwin dengan orang Melayu, jadi dengan itu dapat kepada Islam’. Kalau masih dengan keluarga Cina entah apa jadi pada dirinya. Islam juga menjadikanya redha dengan keadaan. Setiap yang berlaku adalah baik untuk kita. Terima qada’ dan qadar dan teruskan kehidupan.

Walaupun dibesarkan sebagai seorang Melayu rupanya ada perkara yang tidak dapat diubah secara genetik. Seluruh ahli keluarga Melayunya adalah peminat tegar kopi, sedangkan hanya beliau seorang saja yang minum teh. Perkara ini sebenarnya tidak pernah terlintas di fikirannya sehinggalah beliau berkunjung melawat ibunya dan melihat orang tua itu membancuh seteko besar teh sebagai minuman harian. Lepas seteko demi seteko dibancuh tanpa henti. Sentiasa tersedia.

Siapa sebenarnya Puan Y? Dia tidak boleh membuang asal keturunannya. Tapi dia boleh membentuk siapa dirinya.

-SNASH-