Aku takut ke sekolah. Kakak dan abang gembar-gembur yang cikgu sangat garang. Kalau jahat, memang kena pukul. Memandangkan aku hanya berkesempatan tadika sekejap saja akibat demam campak dan lebih menghabiskan masa di bandar, maka aku tidak begitu terdedah dengan alam persekolahan. Tidak ada kawan sebaya. Tak seorang pun yang aku kenal. Namun yang aku tahu sejak kecil lagi aku tak boleh lari dari masalah. Kena hadapinya walaupun aku tak suka.

1.       Bangun pagi-pagi aku dimandikan oleh kakak kerana kami masih menggunakan air telaga. Aku tak kuat untuk menimba air. Perlu masuk awal kerana waktu itu sekolah bermula jam 7.30 pagi. (sebelum waktu disamakan dengan Sabah dan Sarawak)

2.       Aku dimasukkan ke kelas B. Kelas yang dianggap kelas bawah. Ini semua gara-gara lambat daftar sekolah. Kakak nak aku dengannya. Mak nak aku balik kampung. Aku diejek oleh abang dan kakak sebab masuk kelas bodoh. Kakak dan abang aku di sini adalah kembar yang hampir sebaya denganku.

3.       Hari masuk kelas, seorang budak lelaki menggelupur dan menjerit-jerit, menangis sekuat hati kerana takut masuk kelas. Semuanya kerana fobia dengan cikgu. Kenapalah orang tua suka buat cerita? Kesian budak-budak ini termasuklah aku. Setelah dipujuk-pujuk barulah dia tenteram dan mahu duduk.

4.       Seorang lagi budak perempuan langsung tak mahu ke sekolah walaupun dipujuk akibat takut. Sehingga darjah dua barulah dia berani mahu ke sekolah. Tapi sekali lagi akibat takut dimarah cikgu, maka dia tidak bersekolah langsung. Sayang.

5.       Seorang lagi budak lelaki terlambat setahun ke sekolah kerana umur. Silap daftar oleh keluarganya.

6.       Dalam kelas aku jadi tumpuan budak lelaki. Dalam kumpulan aku ada empat meja yang dirapatkan. Hanya aku seorang perempuan. Ini bukan pilihan cikgu. Sebaliknya murid-murid bebas memilih ahli kumpulan. Aku suka duduk depan, jadi aku pilih tempat dan tiba-tiba ada tiga budak lelaki dengan aku. Ini mungkin kerana:

a.       aku dianggap orang baru dalam kelas dan dalam kampung.

b.      Sebab rambut aku yang keperangan (sikit saja) dan diam bersama kakak yang berkahwin dengan orang putih, maka aku dianggap anak orang putih.

c.       Pandai cakap orang putih. (Setakat ‘good night everybody’ yang aku tiru dari rancangan Donny and Marie).

d.      Comel sikit.

7.       Cikgu sebenarnya taklah garang. Cuma tegas. Namun waktu itu istilah tegas dan garang dianggap serupa saja.

8.       Orang bandar katakan. Waktu kelas seni kraf, aku tak tahu apa yang perlu dibuat dengan daun kelapa. Walaupun baru darjah satu, kawan-kawan sudah pandai menganyam daun buat ketupat, tikar, sarung nangka, binatang, tiara dan sebagainya. Aku terkial-kial  dengan daun kelapa sehingga akhirnya apa pun tak jadi.

9.       Aku tak kenal apa itu warna kayu atau warna lilin. Bila disebut warna kayu aku terbayangkan kayu api yang berwarna. Warna lilin pula tak dapat terbayang oleh mata.

10.   Aku mendapat ciuman yang pertama. Waktu pagi sebelum kelas bermula, aku menyapu lantai dalam kelas. Sungguh asyik hingga tak perasan akan keadaan sekeliling. Tiba-tiba..chup! satu ciuman singgah di pipiku. Aku terpempan dan terpinga-pinga. Siapa yang cium aku pulak? Rupanya N, budak lelaki sekelasku. Aku tanya kenapa dia cium aku? Dia kata ‘sebab hang comel sangat. Aku geram!’. Malunya aku. Kejadian itu disaksikan oleh beberapa orang sekelas. Mereka ini pula bawa cerita pada senior di sekolah. Aku digossipkan dengan N sehingga kami darjah enam. Dahsyat betul gossip ni. Yang geramnya N selamba saja. Aku yang rasa sungguh malu.

11.   Kali pertama aku menghadapi kena suntik. Waktu itu setiap murid darjah satu perlu ambil pelalian. Aku dah lupa untuk apa. Waktu beratur untuk mendapatkan suntikan aku relaks saja. Waktu lihat jarum dilalukan atas api pun aku masih relaks lagi. Ramai yang cakap macam gigit semut, tak sakit. Siapa yang menangis akan diketawakan. Tapi waktu aku disuntik, akibat terkejut (bukan sakit pun), tak semena-mena aku menjerit dan menangis sekuat hati. Tak dapat dikawal lagi. Malu sungguh. Satu sekolah tahu aku menangis. Sehingga remaja, aku digiatkan lagi dengan ‘first injection’.

12.   Kakak dan abang cakap kalau dah akhir tahun kena ambil periksa (ujian). Aku tak tahu apa itu periksa. Yang aku tahu hanya doktor yang periksa. Cikgu periksa macam mana? Rupanya kami diberi kertas bertulis untuk menjawap soalan. Aku mendapat tempat ketiga dalam kelas. Itu pun dianggap rendah oleh abang dan kakak sebab mereka dulu dapat nombor satu dalam kelas. Tapi ikut markah. Aku masih dapat nombor tiga dalam kedua kelas kerana markah aku lebih dari budak yang mendapat nombor satu dalam kelas A. Tapi kami di kelas B tidak mendapat hadiah. Hanya kelas A yang layak.

Darjah satu adalah permulaan hidupku sebagai budak kampung. Baru aku sedar siapa diriku, dari mana asal-usulku.  Banyak yang perlu aku pelajari untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan kawan baru. Waktu inilah aku mula berpijak di bumi nyata. Zaman kanak-kanak yang riang dan mewah sudah berlalu.

-SNASH-