Setiap dari kalangan kita berbeza dalam banyak perkara.  Namun perbezaan ini tidak pula menjadikan kita tidak dapat sependapat untuk mengusahakan sesuatu yang akan memberikan kebaikan kepada diri kita dan juga orang lain.

Dalam banyak situasi, kita sering kali dihambat oleh keegoan kita sama ada untuk mempertahankan idea, pendapat mahupun untuk menunjukkan bahawa kita ‘boleh’ bersuara dan ‘suara’ kita mesti didengar malah seterusnya diikuti pandangan kita.

Maka kerana itu, ramai di kalangan kita yang berusaha bersunggug-sungguh menggunakan pelbagai kaedah untuk menyakinkan orang lain untuk ‘menyetujui’ apa yang kita utarakan sehinggakan ramai di kalangan kita yang menjadi ‘penipu’ dan tidak berasa salah memutar-belitkan fakta, kenyataan dan keadaan bagi kepentingan diri.

Berusaha bersungguh-sungguh dalam perkara yang membawakan kebaikan amat baik sekali dan seharusnya menjadi amalan wajib pada setiap individu namun ramai dari kalangan kita yang tersasar daripada pernyataan murni ini sehinggakan ramai yang sanggunp berusaha bersungguh-sungguh untuk mendatangkan keadaan kemudaratan kepada orang lain.

Maka kerana itu dalam berkomunikasi terlahir kaedah yang dinamakan propaganda. Propaganda adalah cara atau tindakan untuk menghebahkan penerangan, ajaran, fahaman dan lain-lain kepada orang ramai dengan tujuan untuk mencari pengikut atau mencari bantuan (Kamus Dewan).

Propaganda berkaitan dengan kawalan, sebagai upaya sengaja untuk mengubah persepsi dan mempertahankan atau menyebarkan keseimbangan kuasa yang bermanfaat bagi si pelaksana propaganda. Definisi umum propaganda menumpukan pada proses komunikasi dan tujuan dari komunikasi: “propaganda adalah usaha yang sengaja dan sistematik untuk membentuk persepsi, memanipulasi kognitif dan perilaku secara langsung untuk mencapai respon yang bagi maksud yang dikehendaki oleh si pelaksana propaganda” (Jewett, hal 16).

Si pelaksana propaganda (propagandis) cuba untuk mempengaruhi dengan sengaja memanipulasi logik untuk mempromosikan tujuan yang diharapkan. Digunakan dengan tepat, penalaran logik meningkatkan keberkesanan hujah dan etos pembicara atau penulis. Kesalahan dalam hujah hanya akan menunjukkan bahawa pemikiran kita tersusun dan mantap dan sepenuhnya boleh dipercayai. Propagandis sengaja menggunakan kesalahan dalam hujah untuk menarik emosi khlayak sasaran.

Propaganda kini giat digunakan dengan penggunaan sengaja dan sedar maklumat palsu atau mengelirukan untuk mempengaruhi pendapat umum. Penggunaan mesin cetak pada abad ke-15 secara berperingkat membolehkan capaian sejumlah besar masyarakat namun hanya pada abad ke-19, propaganda digunakan sepenuhnya untuk kepentingan politik untuk untuk mempengaruhi massa. Kemunculan radio dan televisyen pda abad ke-20 telah membolehkan jangkauan lebih luas dan dengan kepecatan perkembangan media moden, perang global, dan munculnya parti-parti politik penggunaan propaganda menjadi suatu kemestian bagi mencapai hasrat.

Ini adalah tanggungjawab setiap individu warga negara untuk melawan propaganda dan maklumat palsu dan kita tidak harus hanyut dengan arus propaganda ini.  Oleh yang demikian adalah penting kita mengasah pemikiran kita dan menimba ilmu pengetahuan bagi menilai (menapis) maklumat-maklumat yang menbanjiri kita setiap masa agar dengan itu, kita dapat membuat keputusan bijak bagi kepentingan diri dan juga masyarakat keseluruhannya – keputusan yang memberikan kebaikan.