Hak-hak asasi manusia adalah hak-hak yang (seharusnya) diakui secara sejagat sebagai hak-hak yang melekat pada manusia  tidak sesaatpun boleh dirampas atau dicabut.

Di Malaysia, sebahagian daripada hak-hak asasi manusia adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan untuk hidup, kebebasan bergerak, bersuara, berhimpun dan berpersatuan; beragama dan juga hak-hak bersangkutan pendidikan.

Hak bersuara umpamanya termaktub di dalam Artikel 10(1)(a) dari Perlembagaan Persekutuan, yang mengatakan “setiap rakyat mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan berekspresi.”

Sungguhpun demikian, hak bersuara tidak seharusnya difahami sebagai suatu kebebasan yang diberikan tanpa sempadan sehingga semua orang boleh berbicara apa saja yang dia mahu tanpa mempunyai prinsip dan asas yang tertentu.

“Kebebasan bersuara” merujuk kepada hak seseorang individu untuk mengekspresikan idea-ideanya.  Hak kepada kebebasan bersuara adalah, sebenarnya, suatu kesinambungan kepada hak terhadap kebebasan namun berasingan dengan, konsep kebebasan berfikir atau kebebasan menilai.

Dalam realiti, hak kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak di mana-mana negara dan hak ini lazimnya dihadkan.

Hak kebebasan bersuara diiktiraf sebagai hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politikal (ICCPR). ICCPR mengiktiraf hak kebebasan bersuara sebagai “hak mendapatkan pendapat tanpa gangguan. Kesemua manusia akan mempunyai hak untuk menyatakan pendapat”.

Apa pentingnya kebebasan bersuara kepada kehidupan kita?

Untuk menghargai pentingnya kebebasan bersuara, kita perlu terlebih dulu mengenalpasti peranan besar yang dimainkan oleh ilmu pengetahuan dalam kehidupan kita.

Kehidupan kita dibentuk oleh apa yang kita tahu dan juga idea-idea yang kita yakini dapat membantu menentukan tindakan-tindakan yang kita ambil yang hanya akan dapat dirumuskan dengan sempurna dengan ilmu pengetahuan yang ada pada diri kita.

Untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang perlu, seseorang itu perlu memiliki minda yang bebas iaitu bebas untuk menyiasat apa-apa persoalan dan bebas untuk menilaikan semua fakta bagi membolehkan dia membuat kesimpulan dan keputusan yang padanya adalah yang terbaik dan bersesuaian.

Mendokong hak kebebasan bersuara tidak bermakna kita boleh menyuarakan apa sahaja sesuka hati kita kerana berbuat demikian telah jelas menunjukkan kita telah menyeleweng atau menyalahgunakan hak kebebesan bersuara itu sendiri kerana kita menyatakan sesuatu itu tanpa ditunjangkan dengan tanggungjawab iaitu menafikan keperluan ilmu dalam melandaskan apa yang kita suarakan itu.

Hak berkait rapat dengan tanggungjawab, amanah dan keadilan. Hak mesti berjalan seiring dengan tanggungjawab, amanah dan pastinya keadilan.

Jika ada hak tetapi tidak bertanggungjawab maka hak sama ada mudah dicabuli atau hilang kelayakan atau dikecam orang.

Segala hak dan tanggungjawab perlu dilaksana secara bergandingan dan sentiasa berkait rapat dalam setiap bidang kehidupan.

Individu yang menjalankan kewajipannya sudah menjalankan tanggungjawab dan seterusnya memberikan hak kepada individu.

Memenuhi tanggungjawab adalah prasyarat kepada hak yang lain.

Oleh itu, kedua-dua (hak dan tanggungjawab) sama penting dan tuntutan hak adalah tuntutan ke atas pihak lain untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Oleh yang demikian, dalam apa juga situasi, fikir dahulu sebelum BERTINDAK.