Ramai yang ingat bahawa kalau nama Sharifah mesti dibintikan dengan Syed.  Hakikatnya mereka yang dikatakan keturunan Arab ini mempunyai beberapa gelaran yang digunakan. Contohnya Wan, Tuan, Shariff dan Sheikh. Tetapi gelaran Syed merupakan yang lebih dikenali awam.

Aku sendiri bukan dari golongan bergelar Syed. Yang aku tahu sehingga tujuh keturunan datuk nenek aku sememangnya memakai gelaran Shariff. Sebelum bapa aku tidak ada keturunan Shariff yang berkahwin dengan orang biasa kecuali mereka yang bergelar Sharifah jua.

Di kampung aku kebanyakan generasi bapaku telah tidak menggunakan lagi gelaran ini. Anak-anak mereka diberi nama biasa. Jadi anak mereka kemudiannya tidak lagi mewariskan gelaran ini kepada generasi seterusnya. Bagi yang perempuan, anak mereka tidak lagi bergelar Wan apabila berkahwin dengan orang luar.

Di kampung aku, kebanyakan mereka yang berketurunan Shariff ini adalah bermata sepet dan berkulit cerah. Hairankan? Bila dilihat dari susur galur rupanya kebanyakan mereka adalah dari keturunan Arab Mongol. Bila Baghdad jatuh kepada keluarga Khan, maka kebanyakan mereka berhijrah ke seluruh dunia termasuklah Alam Melayu.

Kedatangan orang Arab juga berlaku apabila perang Salib telah timbul usaha untuk menyebarkan Islam di Alam Melayu bagi mengelakkan Kristian disebarkan terlebih dahulu. Sekali lagi apabila Yaman bergolak, maka ramailah mereka ini yang lari ke luar negeri termasuklah Malaysia.

Orang Arab dihormati kerana agamanya. Menurut bapa, kedudukan keturunannya dulu lebih tinggi dari Raja. Raja perlu tunduk mencium tangan mereka dan memanggil dengan gelaran Tuanku. Tetapi pada zaman itu, beban menggalas nama ni cukup besar. Rimas pulak bila orang telalu menghormati kita. Memandangkan mereka dikatakan Ahlul –Bait maka tidak layak menerima zakat. Bapa cakap mereka perlu berkelakuan baik kerana tidak mahu memburukkan nama serta keturunan. Tak boleh berkahwin dengan sebarangan orang. Akhirnya lepas perang dunia kedua ramai lagi yang memberontak dengan protokol ini kerana ramai yang telah mengasimilasi diri mereka dengan Melayu dan berkahwin dengan wanita tempatan.

Apabila Inggeris mendaftarkan kembali penduduk Tanah Melayu, ramai orang kampung yang hanya mendaftarkan nama tanpa gelaran Shariff ini. Antaranya bapa saudaraku seorang Imam. Beliau merasakan bahawa tidak perlu pada gelaran kerana iman seseorang adalah takwanya. Beliau berasa tidak layak untuk dicium hormat oleh orang lain. Bapa jugak terpengaruh dengannya dalam hal ini. Tapi telah pun mendaftarkan nama penuhnya. Namun fahaman ini diteruskan dengan menamakan anak-anaknya dengan nama biasa tanpa gelaran sehinggalah kepada diriku sendiri.

Aku anak bongsu diberikan gelaran atas permintaan nenek yang mahu sekurang-kurangnya seorang cucunya orang bergelar. Tapi sayangnya aku perempuan. Maka akulah generasi terakhir yang memakai gelaran ini. Sehingga kini di mana-mana ada keraian sanak saudara, itulah bahan cerita mereka,  yang aku generasi terakhir, bagaimana nenek beria-ia mahukan gelaran itu diberikan dan bapa terpaksa beralah demi permintaan ibunya.

Bila aku bersekolah di bandar, tak ramai yang tahu mengetahui mengenai Shariff. Maka aku dianggap Sharifah celup. Tak ada nama keluarga juga. Sebenarnya ayah tidak peduli pun untuk menceritakan perihal nama keluarga. Maka seisi keluarga pun tidak tahu dan peduli akan hal itu kerana mereka sudah jadi orang biasa. Memandangkan aku adik kecil dan jurang umur yang jauh, apabila timbul kesedaran untuk mengetahui nama keluarga kami kebanyakan orang tua sudah tidak ada lagi.

Perkara ini biasa bagi orang-orang kampungku di Pulau Pinang. Tapi tidak bagi sanak saudara yang menetap di Kedah. Merekalah yang masih mengamalkan tradisi dengan mengekalkan gelaran ini, masih datang ke Pulau Pinang mencari saudara mereka serta memperkenal diri, keluarga dan anak cucu mereka. Mereka tak mahu kehilangan dan putus ikan persaudaran. Dari mereka inilah baru aku dapat tahu nama keluarga ayah. Kaum kerabat di Kedah masih terkilan kerana ayah tidak meneruskan tradisi.  “Sayang keturunan kita sudah hilang!”.

-SNASH-