Secara amnya, manusia sering ingin meraih keinginan dengan cepat, juga mahu mencapai kesimpulan dan keputusan dengan cepat namun untuk sebahagian perkara yang banyak cabangnya, juga terbuka untuk berbagai versi dan pentafsiran, penilaian tidak dapat disegerakan kerana sikap tergesa-gesa itu hanya akan membawa akibat yang akan disesali kemudian hari.

Kebiasaannya kita melakukan kesilapan dalam menilai sesuatu situasi dan orang. Yang paling biasa ialah pandangan atau tanggapan atau persepsi tidak seimbang (bias).

Sudah menjadi lumrah kesan pertama (first impression) yang kita alami sewaktu kita mula-mula mengetahui situasi berkenaan atau mengenali seseorang. Ini yang banyak berlaku apabila kita berada pada kedudukan yang memerlukan kita sering berinteraksi dan berkomunikasi dengan pihak luar (terutamanya kepada mereka yang berada pada kedudukan tinggi dalam organisasi dan juga mereka yang terlibat dengan usaha untuk memilih, mengambil atau menawarkan pekerjaan atau projek).

Kira-kira empat (4) daripada lima (5) keputusan menawarkan pekerjaan dibuat dalam 10 minit pertama temuduga, menurut beberapa kajian. Keputusan berkenaan pula adalah didasarkan kepada pakaian pemohon atau gaya rambutnya dan juga disokong oleh stereotaip bawah sedar atau idea terbentuk sebelumnya tentang calon tertentu atau jenis calon.

Akibatnya kita akan tertipu dan percaya kepada kesan pertama yang terbukti tidak tepat jika kita membuat penilaian lanjut berdasarkan analisa maklumat yang lebih lengkap atau terperinci.

Sebagai insan yang waras, harus kita sentiasa ingat bahawa walau apa pun alasannya, penampilan luaran tidak mencerminkan kualiti dalaman yang dimiliki dan kita harus sentiasa mengambil berat akan perkara ini sebagai peringatan penting untuk tidak membuat keputusan awal tentang apa pun.

Kita perlu meluangkan sedikit masa dengan melakukan beberapa kajian dan mendapatkan maklumat yang lebih terperinci bagi membolehkan kita membuat penilaian yang lebih tepat dan objektif.

Biar kita LAMBAT membuat keputusan kerana kita memilih untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi penilaian yang lebih baik kerana penampilan luaran boleh MENIPU kita.

Keupayaan penilaian kita tiada nilainya jika kesimpulan atau keputusan yang kita buat didasarkan pada penilaian yang salah.  Oleh itu hati-hati dalam membuat PENILAIAN dan gantikan tanggapan penampilan untuk FAKTA.