Rasanya kita pasti tahu tentang prasa ini : Cinta itu buta.  Pastinya kita tahu akan akan maksudnya – cinta tidak mengenal usia, bangsa dan agama.  Betul? Mungkin. Akan tetapi apa yang pasti, cinta tidak buta tetapi cinta itu rabun.

Disebabkan cinta itu rabun, maka kerana itu kita sentiasa mencari dan meneliti dengan lebih lama dan membelek dengan khusyuk serta dari semasa ke semasa menyemak semula – bimbang terkhilaf.

Mengapa dalam hal ini kita asyik sangat dan menghabiskan sebahagian besar hayat kita untuk mengecapinya. Itu adalah fitrah manusia untuk menyayangi dan disayangi.

Bukan sahaja cinta yang rabun, malah dalam segenap aspek aktiviti kehidupan kita, kita sebenarnya rabun dan terkeliru – disebabkan terlalu banyak silauan dan kemasukan maklumat menjadikan kita terpaksa mengambil banyak masa untuk menyesuaikan diri.

Seperti juga mereka yang rabun (sama ada dekat atau jauh) situasi ini perlu dibetulkan.  Untuk itu kita perlu mendapatkan nasihat pakar sebelum menggunakan peralatan atau kaedah pembetulan yang perlu.

Tidak kira sama ada kita rabun atau tidak, dalam apa juga keadaan, adalah penting kita memberikan perhatian dalam semua perkara yang kita lakukan.

Masalah banyak berlaku kerana kita tidak tekun dan berhati-hati dalam pelaksanaan sesuatu perkata atau aktiviti yang mana akhirnya menyebabkan kita terpaksa membuat pembetulan atau melakukannya semula – yang ini jelas – suatu pembaziran sumber, tenaga dan masa.

Dalam banyak perkara atau aktiviti yang dijalankan, kita hanya perlu meluangkan sedikit masa untuk mendekati situasi dan aktiviti yang perlu dilaksanakan itu – kita perlu datang dekat sikit – untuk mendapat gambaran yang jelas dan dengan itu kita dapat menyediakan rangka atau perancangan yang perlu untuk mendapat hasil yang terbaik.

Namun ramai di kalangan kita yang cuba (dan melakukannya sebenarnya) memintas (by pass) proses ini yang disokong oleh ego kita yang menyatakan bahawa kita tahu cara terbaik untuk melaksanakannya.

Ini adalah tindakan yang salah dan adalah punca sebenar kepada semua permasalah yang timbul.

Hidup kita dipenuhi dengan peraturan dan prosedur yang mesti diikuti (sama ada kita sedar atau tidak) bagi memastikan kemakmuran hidup kita dan makhluk lain di dunia ini.  Jika kita langgar – pasti akan berlaku kepincangan yang akan menyebabkan kekacauan (mungkin besar) kepada perjalanan hidup makhluk lain.

Maka kerana itu, kita mesti bertanggungjawab di atas apa yang kita lakukan.  Sesuatu musibah itu  berlaku adalah kerana keegoan dan kealpaan kita yang lebih mendorong kita untuk berada jauh dari apa yang perlu kita lakukan dan menidakkan keperluan kita untuk datang dekat SIKIT.