Belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang.

Pancaran keiklasan dalam melaksanakan tugasan lahir dan diterjemahkan menjadi sifat rajin melakukan segala usaha untuk mencapai matlamat.

Orang yang ikhlas melakukan sesuatu kerana minat terhadap sesuatu yang diusahakan tanpa mengharapkan upah atau ganjaran, dan jika diberikan pun, tidak dipertikaikannya.

Dalam banyak situasi golongan ini sering kali dikeji, dihina, dipandang remah, diperlekehkan, dan diperkecil-kecilkan malah seringkali ‘diambil kesempatan’ oleh pihak pihak tertentu.

Belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang adalah peringatan kepada kita untuk sentiasa bersedia dalam keadaan yang terbaik dalam menghadapi segala macam situasi apabila diperlukan untuk menangani dan melaksanakan tugasan yang diharapkan atau diamanahkan.

Untuk itu adalah penting kita mengetahui bagaimana menggunakan segala sumber yang ada pada kita dan juga di sekeliling kita untuk mencapai matlamat yang diharapkan.

Maka adalah penting kita berupaya untuk serasi dengan kaedah bekerja dalam sebuah pasukan yang jelas mempunyai kelebihan besar kerana dapat menarik sumber kuasa dari sejumlah anggota.

Kunci untuk bekerja dengan baik dalam pasukan adalah memiliki komunikasi yang baik antara semua orang yang terlibat.

Sebagai ahli pasukan, komunikasi sangat penting. Jika kita mempunyai masalah dengan ahli-ahli pasukan yang lain, bercakap dengan mereka secara langsung. Jika kita tidak boleh bercakap dan mendengar ahli pasukan lain maka adalah lebih baik bekerja secara individu.

Berkomunikasi secara berkesan juga boleh membuat pasukan kita, secara keseluruhan, bekerja lebih baik dan menyelesaikan tugasan yang diberikan dengan lebih cepat.

Dalam persekitaran bekerja dalam pasukan mempercayai rakan sekerja sangat penting.

Selain kesediaan untuk mendengar akan banyak membantu. Cara terbaik untuk menarik perhatian dan kepercayaan orang adalah dengan mendengar.

Perkara ini harus sentiasa diingat bagi merealisasikan sistem komunikasi yang baik adalah pemahaman.

Hasil kerjasama baik dalam sebuah pasukan terjelma keputusan yang baik yang akan mendatangkan pulangan, ganjaran atau manfaat besar kepada organisasi.