Seumur hidup aku, ini yang pertama . . .  (jangan salah faham, ini pinjaman daripada lirik Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu – Ukays) orang mengampu dan disaksikan dengan kedua-dua bijik mata ini.

Sebelum ini, hanya mendengar sahaja al kisah sedemikian.  Rupanya apabila menyaksikan sendiri geli geleman rasanya dan betapa kita pula yang berasa malu dengan situasi itu (walaupun bukan kita yang buat dan yang menjadi subjek ampu itu).

Mengampu jika dirujuk ke Kamus Dewan ada dua penerangan sahaja iaitu yang pertamanya menyangga dari bawah dengan telapak tangan dan sebagainya supaya tidak jatuh atau dengan lain konteks –  menyokong.

Yang keduanya adalah merujuk kepada kiasan yang merujuk kepada situasi mengangkat atau menyanjung seseorang. Penjelasan ini tampak tiada konotasi negatif kerana menyanjungi seseorang bukan suatu kesalahan tetapi apabila kita mengangkat dan menyanjung seseorang dalam apa juga situasi (sehingga mengaburi pertimbangan waras kita), maka keadaan ini menjadikan mengampu itu suatu yang negatif dan boleh menjadi nanar yang akan meracuni seluruh sistem urat saraf masyarakat dan negara kita.

Mengapa agaknya kita perlu mengampu? Tidak yakin pada diri sendiri? Atau kerana ada udang di sebalik batu? Atau kita dari kalangan parasit yang pelahap kuasa dan pangkat menonjolkan diri sendiri?

Mengampu adalah salah satu jalan pintas yang menunjukkan pelakunya tidak memiliki integriti dan maruah. Seorang pengampu akan menurunkan tahap produktiviti organisasi malah Negara.

Apabila persaingan tidak lagi berasaskan meritokrasi tetapi dipandu oleh keupayaan untuk berdampingan dengan pemilik kuasa, maka negara sebenarnya sedang bergerak ke arah kehancuran dan pada jangka masa panjang, kita akan melahirkan masyarakat yang semakin rendah nilainya.

Mengampu ada yang menyatakan ia sudah menjadi BUDAYA masyarakat kita namun jika difikirkan dengan teliti adakah permintaan dan penawaran suatu BUDAYA kerana mengampu tidak akan dapat ‘berfungsi’ jika tiada sebab dan ada yang ‘termakan ampu.’

Budaya yang seharusnya ditunjangkan kukuh dalam setiap diri kita terutama dalam berorganisasi adalah sikap mahu berkongsikan pengetahuan dan menurunkan pengalaman kita kepada mereka yang berada di sekeliling kita bagi bersama-sama membangunkan organisasi dan seterusnya membawakan kemakmuran kepada masyarakat keseluruhannya.

Semua kita mahukan ganjaran, imbuhan dan pengiktirafan daripada apa yang kita usahakan namun itu bukan menjadi syarat membolehkan mengamalkan sikap mengampu yang mana dan yang pastinya akan menidakkan atau sebenarnya kita telah merampas hak orang yang lain lebih berhak ke atas ganjaran imbuhan dan pengiktirafan.