Seorang yang bijaksana tidak semestinya pandai, akan tetapi dengan menggunakan kebijaksanaan yang dimiliki akan dapat mengembeleng kepandaian dan kepakaran orang lain untuk mengaut keuntungan.

Kepandaian dan kebijaksanaan yang digabungkan tidak akan menghasilkan apa-apa melainkan dengan adanya kegigihan.

Kemalasan pula hanya akan membawa kepada kegagalan dan kemusnahan.

Rajin dan gigh berusaha saban hari tanpa jemu akan mendapatkan pulangan yang baik.

Dalam struktur organisasi, kewibawaan menjadi asas yang penting dan merupakan alat yang membolehkan seorang ketua atau pemimpin organisasi itu dapat menggunakan kebijaksanaannya untuk mewujudkan suasana yang dapat meningkatkan prestasi seseorang pekerja (Hackman. and Johnson, 2004).

Seorang ketua juga perlu bijak berkomunikasi, yang pandai mendengar empati dan sedia membuka telinga kepada orang bawahannya selain sanggup melayan soalan-soalan yang dianggap ‘bodoh’, cadangan, dan rungutan dengan sikap bertimbang rasa.

Dalam pengurusan, kepimpinan adalah proses yang melaksanakan fungsi-fungsi pengarahan manakala pengurusan pula lebih bersifat penyelesaian terhadap agenda-agenda yang sedang berlaku.

Kepimpinan perlu wujud pada seorang ketua, manakala pengurusan pula boleh dilakukan oleh semua peringkat dalam organisasi tertakluk kepada bidang kuasa dan tahap-tahapnya.

Kepimpinan dan pengurusan adalah saling memerlukan antara satu sama lain dalam sesebuah organisasi. Sungguhpun demikian seseorang yang dianggap mempunyai daya kepimpinan yang tinggi perlu juga mempunyai kemahiran pengurusan tetapi tidak semestinya seorang pengurus perlu memiliki sifat kepimpinan yang baik.

Adalah amat penting bagi setiap dari kalangan kita – yang TERPILIH untuk memimpin dan mengurus organisasi – telah bersetuju untuk memberikan sumbangan tenaga, mencurahkan pemikiran dan berkongsikan pengalaman untuk menjanakan hasil yang maksimum melalui peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran di organisasi kita agar sentiasa mengingatkan diri masing-masing agar tidak terjerumus menjadi mereka yang dikategorikan sebagai bukan sahaja tidak menjalankan tugas memimpin tetapi juga perlu dipimpin atau mereka yang tidak memimpin atau lemah dalam segi kepimpinan ataupun mempunyai sifat peribadi yang lemah dan tidak dihormati oleh pekerja pekerja yang lain.

Walau apapun kategorinya, kita mesti berupaya untuk mencapai hasil yang maksima dan cemerlang dengan menggunakan daya kepimpinan yang tinggi, mampu menunjukkan jalan, memberi dorongan dan mempunyai banyak idea-idea yang berkesan dan kreatif untuk merealisasikan kejayaan organisasi kita.

Perlu diingat – kehidupan atau berada di dalam organisasi memerlukan sikap dan tindakan yang sama sekali BERBEZA daripada kehidupan kita sebagai individu.