Dalam kehidupan seharian, kita sering kali membuat keputusan untuk mendapatkan yang terbaik daripada apa yang kita harapkan dengan menggunakan segala sumber yang ada pada kita sebaiknya.

Dalam berbuat demikian, ada ketikanya kita akan menghadapi situasi di mana kita berasa kita ‘hilang’ atau ‘kehabisan’ tenaga untuk mencapai apa yang diharapkan.

Jika dalam menjalani kehidupan peribadi kita, situasi ini boleh dikatakan ‘hari malas’ kita yang mana pada hari berkenaan kita berasa hendak bermalas-malas sahaja dan tidak mahu terlibat di dalam sebarang aktiviti yang memerlukan kita membuat keputusan yang besar.

Ya, situasi sebegini sesekali perlu bagi membolehkan kita mengumpul balik tenaga positif yang akan cajkan semula bateri (semangat) kita untuk meneruskan kehidupan selepas ini dengan lebih baik.

Itu, individu.  Bagi sesebuah organisasi, keadaan ini tidak boleh wujud sebenarnya.  Organisasi bukan individu walaupun ia terdiri daripada sekumpulan individu yang telah bersetuju untuk menyumbang khidmat dan pemikiran yang digembelengkan bersama dan didasarkan dengan pengalaman dan pengetahuan terkumpul untuk mencapai matlamat organisai.

Oleh yang demikian, adalah tidak salah jika dikatakan bahawa semua organisasi adalah tempat yang berprestasi tinggi yang hasil yang diperolehi daripadaa pelaksanaan operasinya adalah suatu yang berkualiti yang mana pernyataan ini terpakai bagi semua organisasi yang terlibat dalam semua aktiviti.

Namun timbul persoalan : mengapa ada organisasi yang tidak mencapai apa yang dirancang dan tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Bagi organisasi kecil, itu mungkin mudah untuk dijelakkan – kurang sumber.  Namun organisasi besar seperti perkhidmatan awam, apa pula alasannya? Mungkin kerana terlalu banyak sumber sehingga terbazir?

Bagaimana agaknya untuk kita mencapai ekonomi dan pembangunan Negara yang berprestasi tinggi dan masyarakat kita yang berpendapatan tinggi jika elemen am dan mudah iaitu menjadikan budaya kerja berprestasi tinggi seperti mengamalkan budaya bersih, cekap dan amanah dalam melaksanakan tugasan dipandang enteng?

Selagi kita tidak memahami kepentingan pencapaian prestasi dalam berorganisasi, selagi itu kita tidak akan mencapai apa yang dihasratkan.

Organisasi yang berprestasi tinggi adalah organisasi yang berupaya membawa keluar YANG TERBAIK dari sumber manusia dan sumber-sumber lain yang dimilikinya yang mana akhirnya dapat menghasilkan organisasi yang berkemampuan mencapai prestasi yang berterusan dalam operasinya.

Untuk itu adalah penting sumber manusia yang ada dalam organisasi memiliki KOMITMEN yang tinggi, KREATIF, BERPENGETAHUAN luas dan spesifik dalam tugasan selain memiliki KEMAHIRAN khusus dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.