Nak pergi tengok wayang? Gambar apa? Puku berapa? Nak tengok di panggung mana?

Ini antara perkara-perkara yang mungkin pada sesetangah daripada kalangan kita perkara yang remeh dan tidak sukar untuk membuat keputusan.

Namun seremeh mana perkara itu, jika kita berasa ia ada memberikan makna kepada kita, maka keputusan perlu dibuat.

Membuat keputusan adalah membuat satu pilihan untuk mencapai satu matlamat yang mana pilihan yang dibuat adalah pilihan yang baik secara berterusan adalah kunci kejayaan dalam kehidupan.

Tiada sesiapa yang boleh membuat keputusan yang tepat pada setiap masa, tetapi dengan membentuk kemahiran membuat keputusan di dalam diri, kejayaan anda dapat dipertingkatkan.

Keputusan yang tepat didasari daripada masalahnya. Keputusan yang tepat adalah pada konsep kebajikan yang universal, iaitu mesti adil dan juga mesti yang sebaiknya. Oleh itu dalam mengambil keputusan kita mesti fikirkan apakah keputusan kita itu baik dan adil – mungkin baik untuk kita tapi tidak baik bagi orang lain dan adil bagi kita tidak adil pulak bagi orang lain.
Keputusan yang tepat tidak selalu nampak dengan jelas dan keputusan yang baik sering kali menuntut waktu yang panjang, tidak selalu jelas apa itu keputusan yang baik yang kita perolehi.

Membuat satu keputusan yang baik memerlukan kesabaran dan pemikiran yang berhati-hati.

Dalam organisasi proses membuat keputusan merupakan proses yang paling penting untuk kesempurnaan dalam bidang pengurusan.

Pengurusan organisasi dinilai  berdasarkan keputusan yang dibuat dan keberkesanan pengurus dinilai berdasarkan kualiti keputusan yang dibuat.

Namun sering kali kita didatangkan dengan berita atau maklumat yang mengetengahkan kepincangan dalam organisasi, salah tataurus malah penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa dalam organisasi yang berpunca daripada kejahilan si pengurus atau sekumpulan pengurus meneliti maklumat dan menggunakan maklumat berkenaan untuk membuat keputusan yang tepat.

Kecacatan sebegini boleh dielakkan malah tidak seharusnya berlaku. Memang kesilapan berlaku namun adalah sukar diterima oleh akal yang waras suatu keputusan yang salah diambil oleh sekumpulan manusia yang diberikan tanggungjawab untuk meneliti, menimbangkan dan memutuskan yang memberikan manfaat terbesar kepada organisasi tidak dapat menjalankan tanggungjawab berkenaan.

Keadaan ini mungkin berlaku disebabkan kelemahan pemilihan dan pemberian penugasan berkenaan di peringkat awal lagi – iaitu kelemahan pengurusan sumber manusia.

Keputusan mengambil pekerja yang tidak berdasarkan kemahiran, ilmu dan pengalaman bagi menjalankan tanggungjawab untuk memastikan organisasi dapat berfungsi mencapai matlamat penubuhannya adalah suatu kesilapan yang amat besar dan tidak harus berlaku yang mana kesilapan ini bukan sahaja akan menjejaskan organisasi berkenaan dalam jangka pendek dan akan memusnahkan organisasi dalam jangka malah akan menjejaskan kestabilan atau keseimbangan masyarakat keseluruhannya.

Mengapa? Ini kerana kesilapan ini akan menjadikan dan akan menyuburkan kepincangan dalam masyarakat hasil daripada penerimaan sumber pendapatan yang tidak HALAL iaitu pendapatan uanh diperolehi daripada penyelewengan dalam melaksanakan peranan yang DIPERTANGGUNGJAWABKAN.