Dalam kehidupan kita, pengujian, pengukuran dan penilaian telah dilakukan dalam semua situasi yang memerlukan keputusan atau pertimbangan dibuat.

Itu antara tugas dan tanggungjawab seorang ketua malah dia juga perlu mendapat maklum balas tentang keberkesanan sesuatu pelaksanaan tugas berdasarkan arahan yang telah diberikan.

Maka adalah perlu seorang ketua itu dari semasa ke semasa pada waktu yang telah dikadarkan membuat penilaian untuk mengetahui aspek yang telah dilaksanakan dengan baik oleh stafnya dan dengan itu aspek-aspek yang yang masih lemah dan memerlukan tumpuan dalam pelaksanaan tugasan akan datang.

Berdasarkan maklum balas daripada penilaian ini, seorang ketua seharusnya dapat membuat keputusan tentang aspek kemahiran dan ilmu yang stafnya miliki  atau yang perlu diajarkan, diulang semula, atau diberi latihan tambahan.

Pengujian biasanya melibatkan pengukuran. Akan tetapi, pengukuran menggambarkan konsep yang lebih luas berbanding dengan pengujian.

Pengukuran memberi maksud sebagai proses memperoleh penjelasan numerik tentang setakat mana individu mempunyai sesuatu ciri yang disukat dengan menggunakan alat (alat ujian).

Pengukuran biasanya melibatkan pemberian markah kepada maklumat yang diberi iaitu pemberian angka kepada objek atau peristiwa mengikut kriteria tertentu dengan menggunakan satu skala yang ditetapkan.

Oleh sebab pengukuran hanyalah sebagai satu penunjuk, dari itu, sesiapa yang hendak mengguna sesuatu pengukuran perlulah ia terlebih dahulu memastikan alat ukur itu adalah objektif, sah dan boleh dipercayai. Jika alat ukur telah melalui proses-proses ini, alat ukur tersebut akan dapat mengukur hampir tepat apa yang hendak diukur.

Jadi dalam sesebuah organisasi adakah ini wujud?  Adakah pekerja organisasi faham akan konsep ini? Adakah ini penting?

Pengukuran perlu ada dan mesti dilaksanakan dengan kaedah yang boleh diterima dan dipersetujui oleh semua pihak dan perlu diguna pakai dengan jujur bagi membolehkan prestasi yang diharapkan tercapai dan kemajuan yang dirancang terlaksana di samping dapat digunakan untuk menetapkan sasaran kemajuan akan datang.

Kebanyakan kita sama ada berada pada kedudukan atasan pengurusan sesebuah organisasi malah sebagai pekerja, kita amat jarang sekali melihat pengukuran yang piawai ini sebagai suatu yang penting dan dijadikan amalan hidup berorganisasi.

Kita hanya akan ‘kelam kabut’ apabila sudah berada pada bulan terakhir tahun berkaitan untuk mengemas kini apa yang telah dilaksanakan hanya kerana bagi memenuhi hasrat nafsu haloba masing-masing – untuk mendapatkan pengiraan bonus/insentif dan kenaikan gaji.

Maka kerana itu, agak sukar kita melihat organisasi yang berdaya saing dan mempunyai pencapaian yang sentiasa memberangsangkan setiap waktu.  Mungkin ada yang menyatakan itu mustahil kerana dalam kitaran kehidupan di dunia ini, pasti ada masanya kita berada di bawah.

Itu bukan persoalannya dan itu bukan isunya apabila dalam organisasi.  Organisasi bukan individu.  Organisasi mempunyai sekumpulan individu yang mempunyai kemahiran atau kepakaran masing-masing bagi mencapai matlamat organisasi.  Bagi organisasi yang menjalankan perniagaan sudah pasti matlamatnya adalah untuk memaksimakan keuntungan dengan meminimakan kos.

Bagi organisasi seperti perkhidmatan awam, matlamat bukannya untuk memaksimakan keutangan tatapi adalah sebagai pemudah cara kepada semua lapisan masyarakat di negara ini dalam menjalani kehidupan harian atau melaksanakan aktiviti bagi menjana pendapatan masing-masing.  Namun malangnya situasi yang berlaku tidak seperti yang diharapkan.