Waktu remaja aku menetap di asrama sekolah. Asrama untuk budak-budak jauh, bukan asrama penuh. Menu sarapan setiap hari adalah roti putih dengan marjerin dan sekaya atau jem. Telur separuh masak (telur rebus sebenarnya). Sekali sekala ada mi goreng, bihun goreng dan nasi lemak. Punya banyak makan roti sampai sekarang aku hilang minat makan roti untuk sarapan.

Di kolej – bagus daripada asrama sekolah. Menu pagi pelbagai. Ada lontong, soto, nasi impit kuah kacang (sambal sate untuk orang Sarawak), seperti biasa menu wajib roti dan telur , mi, bihun, koay teow goreng atau sup. Masalahnya nak ke kelas jauh jadi tak sempat nak lepak lama untuk makan. Akhirnya minum air saja. Pukul 10 pagi kelaparanlah. Maklumlah jadi pelajar banyak pakai tenaga dan otak, jadi perut sentiasa lapar.

Bila dah kerja, seingat aku menu lazim adalah roti canai, nasi lemak, mi goreng, teh tarik. Itu yang biasa dijual waktu pagi. Roti memang jauh dari pandangan. Tak minat. Waktu diam dengan abang, makan saja apa yang dihidangkan. Biasanya roti putih. Tapi selalu aku minum air saja. Pergi kerja jalan kaki. Dalam perjalanan aku akan singgah beli nasi lemak atau roti canai. Kalau makan pagi berat, maka tengahari tak makanlah aku. Di Pulau Pinang banyak kedai mamak, maka kerap jugalah makan nasi kandar. Kalau nak makan masakan Melayu kena ada kenderaan mudah bergerak. Biasanya gerai nasih Melayu menumpang di kedai kopi Cina. Kalau ada restoran Melayu yang berdekatan pejabat, menunya pula tidak pelbagai.

Bila dah berusia dan banyak membaca baru tahu rupanya kita perlu kerap makan, tapi kuantiti secukupnya. Agaknya bila menahan lapar, maka untuk waktu makan seterusnya tentulah lahap jadinya. Akibat terlalu banyak makan nasi lemak dan makanan bergoreng, maka sarapan tetap aku sekarang ini kalau di rumah adalah oat. Setengah cawan oat dengan satu cawan air. Ditabur dengan kismis hitam atau tambah madu lebah. Walaupun tak suka, itulah menu yang sesuai sekarang. Tak sangka kena makan oat. Dulu kecik-kecik tak kenal pun oat. Zaman dah berubah.

Agaknya dua puluh tahun lagi apa pulak menunya?

-SNASH-