Aku berkenalan dengan Zarina sewaktu darjah satu. Zarina seorang yang peramah dan mesra dengan semua orang. Kami sekampung. Walaupun begitu kerana aku adik kecil maka selalulah aku dibawa ke sana sini oleh kakakku yang tua. Dia tidak mempunyai anak walaupun sudah berumahtangga. Aku lebih terdedah dengan suasana bandar. Pakai baju cantik dan main sorang-sorang.  Duduk di ‘town house’. Hujung minggu pergi ke rumah percutian. Kadang-kadang pergi menginap di hotel. Berenang di kolam. Jalan-jalan dan membeli-belah di toko. Tapi aku tak ada kawan sebaya.

Bila nak bersekolah, emak mahukan aku bersekolah di kampung. Jadi barulah aku bergaul dengan budak-budak yang lain. Tapi Zarinalah yang paling rapat memandangkan abangnya juga adalah kawan baik abangku.

Balik ke kampung merupakan pengalaman yang amat terkesan di hati. Mungkin kerana telah ada perasaan peka dengan keadaan sekelilin g. Memandangkan aku anak bongsu maka tiada siapa yang mengendahkan pendapatku atau perkataanku. Aku hanya perlu patuh pada apa yang keluargaku mahu aku lakukan.

Demi mengelakkan rasa bosan dan tidak seronok maka selalulah aku melarikan diri ke rumah Zarina. Di belakang rumahnya ada dengan bendang (sawah). Walaupun mak dan ayah pernah berbendang, aku tidak pernah turun ke bendang. Aku tak tahu apa yang berlaku dan ada di bendang.

Kami selalu bermain di belakang rumahnya. Kadang kala dia mengajakku turun ke bendang. Aku keberatan kerana selalu digemparkan oleh kakak dan abang pasal lintah dah pacat. Padahal rupanya pun aku tak kenal.  Dia ketawakan aku kerana terlalu penakut. Tapi rasa ingin tahu begitu membuak-buak. Turun juga aku akhirnya.  Tanah sawah lembut membuatkan aku hampir tenggelam, rasa macam pasir jerlus. Menjerit-jerit aku minta tolong. Zarina hanya ketawa sedangkan aku dah tenggelam separas peha (untuk seorang budak yang tingginya hanya 1 meter). Akhirnya dia kuat menarik aku ke batas. Kami ke petak lain yang lebih keras. Dia memperkenalkan aku dengan pokok padi, padi muda, anak pokok dan rumput. Pada aku semuanya kelihatan sama saja.

Kelihatan sekumpulan anak-anak ikan berwarna merah. Katanya itu anak ikan haruan. Dia juga memperkenalkan aku tumbuhan kiambang atau seroja serta bermacam pokok ulam di tepi sawah.

Di tepi bendang datuknya ada menggali parit berbentuk U untuk menampung lebihan air dari sawah. Aku lebih suka menggelarnya kolam kerana airnya yang jernih. Dasarnya tidak kelihatan kerana dilitupi daun-daun pokok rambutan yang berguguran. Rasa teringin nak mandi.

Aku bertanyakannya pasal kolam. Katanya maknya tidak benarkannya mandi di sini. Aku pula siap bertanya, “ada ikan jaws?”

“Ada!. Kalau hang berani, terjunlah!”

“Tak nampak ikan pun.”

“Kalau kita terjun baru dia ada. Sebab ikan jaws!”

Pasal ada ikan jaws jugaklah selepas itu aku tidak berani menghampiri kolam tersebut.  Sejak itu aku tidak mahu lagi ke sana. Kami hanya bermain di bawah rumahnya. Main pondok-pondok. Rupanya phobia filem Jaws telah berjangkit kat aku. Kita sebagai budak-budak memang lurus dan mudah percaya pada orang lain. Tak sedar diri dah kena auta. Itu pun aku hanya sedar bila aku menceritakannya pada kakak ku. ‘Mana ada ikan besar tu dalam kolam?’

Tapi aku tak marah pada Zarina. Susah nak makan hati dengannya. Pada aku dia seorang yang berpengetahuan. Bangga dengan dirinya dan bangga dengan keluarganya. Aku suka padanya. Tapi persahabatan kami terputus apabila bapanya menyertai FELDA  dan berhijrah ke Pahang. Sejak itu aku tidak lagi mendengar khabar dirinya sehinggalah sekarang. Kalau berjumpa pun mungkin aku tidak kenal lagi akan dirinya.

-SNASH-