Pemakanan kita sehari-hari berubah mengikut zaman, cara hidup dan sumber yang ada. Seingat akulah sejak kecil sehingga remaja, sewaktu di asrama sekolah menengah, kerja, kolej, kerja balik, suri rumah semuanya tak sama.

1.       Waktu kecil  aku duduk di kampung.  Mak akan bagi roti Benggali (English Bread) yang dihiris empat keping untuk satu buku. Mak sapu marjerin dan taburkan gula. Sekeping seorang. Waktu tu yang bersekolah 5 orang tidak termasuk aku.  Kadang-kadang emak rebus ubi  keledek. Sekali sekala tabur nyiur parut bergaram. Roti kering (ban yang dibakar keras) satu setiap seorang. Rendam dalam air teh untuk melembutkannya.

2.       Mak akan bancuh teh waktu pagi. Kopi hanya pada waktu malam. Itu pun untuk ayah. Mungkin sebab teh kuda terbang lebih murah. Anak ramai katakan.

3.       Kadang-kadang mak masak mi segera jenama Vit’s. Tapi dua bungkus saja dengan sedikit saja perencah, tapi mak tambah bayam atau cekur. Janji ada sayur. Dua bungkus untuk 10 orang.

4.       Kalau ada pisang mak akan buat cucur kodok (jemput-jemput). Dipanggil cucur kodok sebab bentuk montel dan comel.

5.       Mak juga buat karipap untuk dijual tapi kami tak akan dapat merasa karipap tersebut kecuali ada lebihan dari jualan. Nak merasa karipap panas, minta maaflah. Walaupun mak sibuk dengan jualan, mak mesti siapkan sarapan anaknya kerana tak mahu anak-anak berbelanja di sekolah.

6.        Kalau teringin nak makan nasi lemak, kami akan beli nasi lemak Mak Ngah, jiran depan rumah. Sebungkus dulu 5 sen dan kemudian 10 sen.  Nasi lemak dibungkus comel.  Beli nasi lemak ni kalau berduitlah. Kemudian mak pun berjualan nasi lemak 20 sen sebungkus. Waktu inilah aku mula gemuk kerana tiap-tiap hari makan nasi lemak (kerak nasi waktu pagi dan nasi lebih waktu tengahari).

7.       Kalau hari cuti kami akan ke kedai kopi kampung untuk membeli kuih-muih tradisional. Untuk era 1970-an dan awal 1980-an kuih tradisional ni adalah kebiasaan di mana-mana. Kuih kegemaran adalah tepung bungkus, pulut inti, tepung gomak, lepat liat, lepat pisang, bengkang (bingka) ubi, gandum, pandan dan kacang hijau, lompang, buah melaka, onde-onde, cucur kacang, kuih lapis dan macam-macam lagi lah. Tapi kalau boleh buat sendiri, mak akan buat sendiri. Contohnya buah melaka, bingka ubi, ketayap, lompang, apom  dan lepat pisang.

8.       Roti canai bukan amalan sebab di kampung tak ada orang berjual roti canai. Kalau nak makan kena pergi ke pekan 5 km dari rumah. Makan di kedai mamak. Roti canai mula popular bila mamak kedai runcit di kampung mula berniaga roti canai. Senang dapat. Seingat aku tahun 1983.

Agaknya sebab itulah orang dulu kurus. Walaupun makan lemak dan manis, masih sihat sebab saiz dan kuantiti makanan yang diambil. Saiz kuih-muih utara biasanya comel. Selain bentuk yang cantik, mudah dimakan dengan tangan. Makan pagi sekadar alas perut. Bukan makan pagi kenyang hingga ke malam. Teringat aku nasihat jurulatih kecergasan  di gimnasium yang menyuruh aku makan keledek rebus waktu pagi jika mahu kurangkan berat badan…

-SNASH-