24

Itu adalah angka yang sentiasa menghantui fikiran ini.  24 jam sehari, 24 bulan …

Itu risiko yang dihadapi sejak 31 Mac 2009.

Suatu risiko yang amat besar malah merupakan suatu keadaan yang jika difikirkan dengan waras yang merupakan suatu tindakan kamikaze dalam kerjaya seseorang.

Bayangkan dalam tempoh 24 bulan sahaja, catatan perjalanan kerjaya anda terhakis dan terpahat suatu tempoh kosong seolah-olah tidak menyumbang apa-apa.

Namun keputusan telah dibuat dan berpegang kepada prinsip bahawa kita berani membuat keputusan dan seharusnya kita berani menanggung segala risiko yang muncul maka 24 bulan, 24 jam sehari diharungi dan ianya akan berakhir tidak lama lagi (30 Mac 2011).

Seperti pepatah : habis manis sepah dibuang, tidak ubah seperti kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba kajang mengkuang layu, dangang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu.

Rasanya bagi seseorang yang waras dan berhemah, apabila kita menyertai mana-mana organisasi, sudah pasti kita mahu memberikan yang terbaik kerana dengan harapan kita akan menjadi sebahagian daripada organisasi berkenaan, berkembangan bersama dan memberikan manfaat kepada orang lain dan (tidak dinafikan) kita juga mengharapkan penghargaan dan upah yang setimpal dari usaha yang dicurahkan.

Namun tidak ramai yang berupaya melihat dan memahami akan hakikat ini.  Bekerja dianggap sebagai suatu yang perlu kerana hendak mendapatkan imbuhan (gaji) yang pada anggapan kebanyakan kita adalah hak yang mesti diberikan kepada kita.  Benarkan begitu?

Ramai di kalangan kita yang lupa bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua kita untuk berusaha sepenuh hati dan memastikan tahap profesionalisma yang tertinggi (yang tidak boleh dikompromi) dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan sehinggakan terdapat organisasi besar di Negara ini yang menyatakan bahawa sesiapa yang telah diterima masuk dan bersetuju dengan syarat-syarat perkerjaan yang ditetapkan adalah sebenarnya berkhidmat 24 jam sehari dan adalah dipertanggungjawabkan untuk memastikan mereka sentiasa melaksanakan tugas dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab; tidak berkelakuan dengan cara yang mungkin menyebabkan kepentingan peribadi bercanggah dengan tugasnya; tidak akan berkelakuan dengan cara yang boleh menimbulkan syak yang munasabah bahawa dirinya telah membiarkan kepentingan peribadi bercanggah dengan tugas rasmi sehingga menjejaskan kegunaan nya sebagai pegawai; tidak akan berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan dan mencemarkan nama perkhidmatan; tidak akan membawa sebarang bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan tuntutan dirinya atau pegawai lain berhubung dengan perkhidmatan; dan tidak akan ingkar perintah atau berkelakuan dengan cara yang boleh ditafsirkan sebagai ingkar perintah.

Namun hakikatnya tidak sedemikian.  Malah ramai yang beranggapan dan menyatakan kita bekerja setakat 8 jam sehari atau bagi yang mengikut shif, mungkin 12 jam sehari maka masa yang selebihnya adalah hak kita dan seharusnya selepas waktu pejabat, kita tidak harus diganggu dan kita tidak harus melakukan tugasan pejabat dan jika perlu maka harus digantikan dengan imbuhan tambahan.

Mengapa boleh ada pemikiran cetek sedemikian yang terlalu mementingkan diri?  Bagi yang berfikiran sedemikian dan menjadikan ianya prinsip bekerjanya, anda sebenarnya tiada gunanya berada di muka bumi ini dan hanya menjadi suatu kerugian sahaja kepada orang lain – anda telah menggunakan banyak sumber untuk meneruskan kehidupan anda sedangkan ianya adalah hak orang lain.