Malam Kenduri

Lepas maghrib, mak suruh gilling inai. Sebab tak ada siapa yang sanggup, semua orang kepenatan dengan persiapan, maka pengantin ni lah jugak yang menggiling inai. Giling inai sendiri, potong kayu api sendiri, buat kuih sarang tebuan sendiri. Mana ada istilah Ratu Sehari untuk diri aku. Sampai tengah malam barulah duduk berehat dan berinai. Sejam saja tahan berinai, nasib baik merah. Ramai jugaklah anak menakan yang perempuan nak tumpang berinai. Tadi masa nak giling sorang pun tak nampak muka. Tak maulah kacau kakak dan abang. Depa dah penat dengan tugasan yang diagihkan oleh mak dan ayah. Sabar dan terima kasih banyak-banyak untuk seisi keluarga sebab tugas kenduri tak boleh jalan dengan sendiri tanpa kerjasama semua pihak.

 

Hari kenduri

Aku tak mahu pasang muzik langsung.  Jadi tak ada stesen untuk DJ. Tapi entah siapa terpasang lagu dangdut Mas Joko. Cepat-cepat aku suruh hentikan.  Kahwin nak berkat, jadi muzik  moden tak mainlah. Nasib baik ada kumpulan marhaban. Kira meriahlah jugak. Kawan baik, Laila jadi Mak Andam, mungkin lebih baik Cik Andam, sebab bujang lagi. Dialah yang taja gaun pengantin. Sempena pembukaan kedai pengantin kakaknya. Cuma bayar solekan dan sewa baju Melayu untuk bersanding. Ramailah kawan lama datang kenduri.  Ramai yang nak tahu tentang suami. Orang mana, macam mana kenal. Kerja apa. Penat jugak melayan orang ni. Rumah kampung dengan atap zink, panas! Tak ada penghawa dingin. Kadang-kadang terfikir macam mana boleh tahan  hidup waktu dulu bila tak ada ‘air-cond’. Ramai jugak yang masuk bilik tapi tak nampak muka mak, abang dan kakak. Semua sibuk mengendalikan majlis. Sorang-sorang  menunggu dalam bilik pengantin dengan mak Andam. Mungkin sebab tak ada upacara bersanding secara rasmi maka ramailah yang nak melihat pengantin akan bertandang ke bilik pengantin.  Sibuk dan rancak orang keluar masuk.

Sebab bersanding ikut suka waktu (lepas Asar) rupanya si suami datang kenduri dengan pengapit pada waktu tengahari pakai baju Melayu biasa, tanpa songkok. Siap makan dan lepak dengan pengapitnya. Bersembang-sembang lagi. Orang pun tak kenal yang mana satu pengantin lelaki. Maklumlah bersanding pukul lima petang.  Buat apa bersiap awal-awal.  Lucunya kawan baik dan si suami sendiri cakap yang mereka makan bertambah sebab lauk sedap-sedap. Menu lumrah di kampung kalau “brunch” akan dijamu kanji (bubur nasi) atau pun nasi putih, ikan gelama masin, gulai nangka, celur pucuk ubi dan sambal belacan. Tengahari menunya biasa seperti kenduri lain gulai daging, acar rempah (buatan Mak Su Teh),  ayam Ros. Selalunya menu ayam disediakan untuk tetamu bukan Islam yang tidak makan daging. Tetapi ramai pulak orang tua yang elak makan daging sebab gout atau athritis. Nenas dan tembikai sebagai pencuci mulut. Satu lagi menu kegemaran adalah kerabu lobak masin. Lengkap menu dengan pelbagai rasa. Sayangnya aku sendiri tak berselera makan. Sebetulnya tidak ada waktu senggang nak makan. Tiba-tiba saja adalah terdetik hati seorang makcik yang bertanya ‘pengantin makan dak lagi?’. Makan juga akhirnya.

Bersanding.

Keluarga saya tidaklah ghairah sangat. Asal nikah cukuplah. Tapi keluarga  sebelah  suami pula sungguh mendukung adat. Mesti bersanding. Akhirnya bersanding di hadapan sanak saudara saja. Dalam kad jemputan, acara bersanding tidak tercatat. Untuk mengelakkan semua orang datang tengok.  Pelamin pun ringkas, buat sendiri. Nasib baik ada kakak yang kreatif. Baju pun kawan yang taja. Simple sungguh.  Sewaktu pengantin lelaki datang, aku kena turun menyambut, lepas tu bawa suami ke dapur dan balai masak, jumpa semua orang kampung yang bergotong royong menjayakan kenduri kami. Ucap terima kasih. Depa pun nak tengok pengantin jugak!. Lepas tu baru naik ke rumah untuk bersanding. Masa tu tak ada kamera digital. Bateri kamera suami dah lemah.So gambar pun tak berapa jelas. Bolehlah.  Jurufoto pun tak ada yang bertauliah. Ambil ikut suka saja. Konon nak tukar empat pasang baju. Akhirnya hanya dua pasang saja. Dah tak larat nak bergambar. Lagipun dah tak ada filem, bateri pun dah lemah. Lepas kahwin, suami balik sekejap ke rumah penginapan, ambil beg pakaian. Sebelum maghrib dia dah ada di rumah.

Keluarga suami menginap di rumah penginapan kampung, lebih kurang  500 meter dari rumah. Masa tu homestay belum popular.  Semalam RM100. Keluarga sebelah suami datang dari Miri, dua orang mak saudara, dua orang sepupu, seorang anak saudara, mak dan ayah suami serta adik lelakinya. Sesuailah duduk dalam sebuah rumah, lebih selesa dan bebas. Kaum keluarga kami pun sibuk dengan kenduri, jadi tak dapatlah melayan seperti sepatutnya. Cuma untuk sarapan keluarga kami menghantar makanan. Ayah juga menyewa sebuah van supaya mudah dan bebas untuk mereka bergerak . Tapi akhirnya sewa van dilunaskan oleh suamiku jua.

Malamnya

Masih kena pakai baju cantik. Kali ni upacara buka hadiah. Seronok juga terima hadiah. Dari kawan dan sanak saudara.  Siap bergambar lagi. Lepas tu seisi keluarga berkumpul mengira perolehan kenduri. Ada lebihan dari kos.  Pada asalnya tiada siapa pun yang akan menyusul untuk kenduri di Sarawak sebab jauh dan kebanyakan keluarga kami belum mampu bila memikirkan tambang dari Pulau Pinang ke Kuching. Akhirnya semua bersetuju untuk ayah, mak dan  Kak Ani pergi ke Kuching. Abang Radhi dan Abang ipar pergi dengan tanggungan sendiri.

Setelah selesai majlis kenduri kami ada masa dua minggu sebelum majlis di Kuching. Aku dan suami mengambil kesempatan untuk berziarah seluruh kaum keluarga di Pulau Pinang. Pertama sebagai tanda terima kasih atas sumbangan kudrat dan wang untuk kenduri. Kedua memandangkan aku akan berpindah ke Kuching untuk menetap di sana, dan entah bila pulak aku akan balik lagi ke Penang, maka inilah masanya yang sesuai untuk aku mengucapkan selamat tinggal. Ketiga, sememangnya kalau ditakdirkan aku kahwin dengan teman sekampung, aku masih perlu berziarah kepada kaum keluarga untuk memperkenalkan suamiku kepada mereka dan mereka pada suamiku. Hatta kerana sememangnya orang Melayu bila berkahwin maka terbinalah satu keluarga baru dan keluarga tambahan.  Maka saudara isteri juga adalah saudara suaminya dan begitulah sebaliknya. Setiap kunjungan kami mesti lengkap berbaju kurung dan memakai barang kemas. Suami pula berbaju Melayu. Pakaian mesti baru. Barulah aku faham kenapa mak bising suruh buat banyak baju kurung .

Penatnya dengan majlis kenduri ini disambung pula dengan majlis di Kuching.

-SNASH-