Kalau disuruh kahwin lagi sekali, rasanya tak mahulah. Cukuplah sekali. Kahwin tu seronok. Proses nak kahwin tu sungguh memenatkan. Tak mau buat kenduri,  ayah ramai kenalan. Keluarga sebelah suami jauh datang, nak juga rasa kenduri kahwin yang meriah. Maklumlah anak sulung katakan. Saya pula anak bongsu. Dah banyak kenduri mak dan ayah buat untuk kakak dan abang. Dah biasa dah.

Merisik

Lucu bila difikirkan bab merisik ni. Sebab keluarga suami diam di Kuching, semuanya serba ekspress dan ringkas. Lepas upacara konvokesyen, bakal ayah mertua datang ke bilik hotel, nak jumpa ayah dan mak. Bilik sebelah menyebelah saja. Konon nak bersembang nak buka bicara. Nak kenal-kenal. Ayah dah siap cakap pasal hantaran dan langkah bendul. Cepatnya. Nasib baik bakal suami dah siap bawa cincin tanda. Terus setuju. Dalam mensyuarah tu hanya ada mak, ayah, ayah mertua , saya dan bakal suami. Mana ada pasangan yang nak bernikah ada bersama dalam upacara buka mulut ni.

Bertunang

Bertunang pula ikut adat Sarawak. Tak ingat pula tarikh bertunang tapi dalam bulan Mei kot. Sebab jauh dan kos, maka segala hantaran perkahwinan dibuat oleh keluarga pengantin perempuan. Pengantin lelaki  hanya keluar duit. Semua hantaran termasuk duit diberi sewaktu bertunang. Nanti waktu nikah dan kenduri dah tak ada hantaran lagi. Kahwin dan bersanding saja. Kesian juga kat bakal suami kena sedia dua cincin dan dua pasang persalinan untuk kakak sebab langkah bendul. Ikut adat katakan. Tak ada kejutan sebab kedua-dua hantaran pihak perempuan yang buat. Tapi bagi keluarga bakal suami, depa suka sangat sebab cantik barang-barang  yang ada. Manisan pun sedap. Ada halwa maskat (kemestian untuk orang Pulau Pinang),kek, coklat, puding dan bipang yang dibuat bentuk bakul. Mak upah Mak Su Saniah untuk buat bipang. Ada juga kuih Ya atau putu beras, satu unsur pengaruh dari Peranakan Pulau Pinang.

Akad nikah

Kami diakadnikah di masjid kampung sehari sebelum kenduri. Keluarga suami ke masjid. Keluarga saya hanya ayah dan para saksi. Hairan juga keluarga suami, mana pengantin perempuan ni.

Akad nikah pukul 11.15 pagi. Pukul 11.00 pagi aku masih di rumah berkain batik dan berbaju kedah.. Sibuk menyiang sayur.  Tak ingat pula siapa yang menegur. “ Hang tak siap lagi ka? Sat lagi depa mai rumah nak sarung cincin!. Kelam kabut bangun cuci tangan. Naik ke bilik bersiap.  Sendiri bersolek. Baju kahwin, saya pakai baju mak. Mak kecilkan baju dia ke Mekah menunaikan haji.  Pukul 11.30 pagi rombongan pengantin lelaki datang. Berdebar-debar rasa hati. Tak sangka aku dah jadi isteri orang. Suami datang sarung cincin dan serah duit mas kahwin. Lepas bergambar kami menikmati jamuan ringan. Menunya kopi O dan biskut kering. Hmmm.

Petangnya, mak panggil suruh mandi, kalau ikut adat Melayu, adat bersiram. Mak siap panggil seorang  makcik untuk tolong mandikan. Tak sangka mak ni ikut adat rupanya. Dulu-dulu kenduri kakak dan abang tak ambil tahu, bila nak kahwin barulah tahu. Makcik ni saya tak ingat namanya memang pandai mengubat orang. Berlangirlah aku menggunakan limau nipis dan sintok siap dengan jampi serapah. Makcik kata dia guna ayat Quran, bukan jampi yang bukan-bukan.  Kening pun siap dicukur. Berkerut-kerut muka aku disuruh bercukur. Tapi katanya bagi kemas saja, bukan licin dan nipis terus. Ya la tu. Lepas mandi rasa wangi dan berseri-seri rasanya. Barulah rasa macam pengantin.

-SNASH-