Cerita ni bukan pasal risalah My Balik Pulau. Risalah tu ada cerita tersendiri. Sebab tak simpan rekod dan sejarah secara bertulis maka orang boleh tulis apa saja yang mereka suka untuk membenarkan penyataan mereka. Kerajaan Malaysia seharusnya mengamalkan Pengurusan Maklumat secara menyeluruh macam Library Congress di USA. Sediakan budget untuk penyelidikan dan rekod. Kalau tidak orang akan tulis sejarah suka hati.

Balik pada asal. Dulu-dulu Balik Pulau ni jauh nak pergi atau sampai. Kalau naik bas, jalan bengkang bengkok dengan selekoh tajam dan bukit yang tinggi. Jalan dibina sewaktu British di mana jalan dibuat berasaskan jenis tanah dan bentuk muka bumi. Maka hasilnya tidak ada jalan yang lurus. Walaupun bukit tinggi kita tidak terasa kecerunannya kerana jalan dibina agak mendatar. Kalau berbasikal pun tak semput nafas. Tak sedar dah sampai ke puncak bukit.  Tapi tak ada pula jalan yang runtuh kerana tidak ada tanah runtuh. Kini hanya jalan Balik Pulau ke Teluk Bahang saja yang masih kekal dengan gaya jalan lama. Bila ada empangan Teluk Bahang dah berubah juga lanskap jalan di Teluk Bahang. Jalan Balik Pulau ke Teluk Kumbar dah berubah wajah. Dua bukit dihubungkan dengan jambatan. Untuk meluruskan jalan dan mengelakkan selekoh tajam. Ini kerana laluan trafik yang sibuk dan semua orang hendak cepat dan mudah-mudahan kadar kemalangan kurang.

Kenapa ada kemalangan? Kerana orang tak sabar tak pandai memandu. Lagi satu kereta yang ada tidak sesuai.

Untuk mereka yang tinggal di Balik Pulau……sila jangan pakai Kancil atau kereta yang dibuat khas untuk dalam bandar. Seeloknya pakai sedan atau 4 pacuan roda. Tapi bukan semua mampu kan? Kancil pun digunakan untuk redah bukit. Cuba fikir kereta enjin 1000 c.c ke bawah meredah bukit setiap hari. Hauslah enjin ooiii.

Kalau jalan lama mungkin okay. Tak terasa pening latitud. Tapi jalan baru terutama Jalan Balik Pulau Relau, silalah cuba. Kalau tak biasa, telinga akan berdesing. Tiba-tiba saja ploop! Telinga gatal dan sakit. Terpaksa telan air liur banyak-banyak. Ini kerana jalan yang dibuat bercerun tinggi dan memotong bukit. Hasilnya jalan yang lurus dan tanah asyik runtuh. Kereta tak mampu naik bukit. Dahlah tak boleh memotong, kereta di depan punyalah perlahan. Selalunya kalau disiasat kebanyakan pemandu perlahan ini bukanlah penduduk Jati Balik Pulau atau pun pemandu muda yang belajar memandu kereta manual tapi beli kereta auto untuk naik bukit Balik Pulau setiap hari. Lingkup cepat kereta ooi. Menyusahkan orang di belakang. Untuk bas, bukan sebarang bas yang boleh digunakan di Balik Pulau. Dulu Syarikat Bas Kuning menggunakan bas dengan enjin khas khusus untuk naik turun bukit setiap hari. bila bas merah (tak ingat nama pulak) ambik alih, tak banyak trip sebab enjin tak sesuai.Susah nak cari pemandu. Bas cepat rosak. Buat bisnes tak kaji dulu. Sekarang bas Rapid. Tak taulah macam mana sebab tak pernah naik lagi. Ramai orang ambik mudah pasal jalan di Balik Pulau.

Tapi dulu sebab jalan bengkang bengkok nilah ramai yang tak suka ke Balik Pulau. Jauhlah. Kenduri kahwin aku pun tak ramai yang pi sebab jauh (Untuk kawan sekolah memang aku tak jemput sebab lost contact). Saudara mara pun walau di Taiping kata Balik Pulau ni jauh. Macamlah kami di Balik Pulau ni tak jauh bila nak ke tempat lain. Hmmmm.

Tapi sekarang semua orang nak duduk Balik Pulau. Rumah dan tanah masih murah. Hakmilik kekal lagi. Itu yang buat orang cemburu terutama Kerajaan Negeri. Sungguh tanah pusaka nenek moyang aku berjuta nilainya tak akan kami jual. Selagi hayat dikandung badan akan kami pesan pada anak cucu, jangan cuai jangan alpa, sekali terlepas susah nak nak dapat balik.

Jalan di pekan Balik Pulau semakin sempit. Banyak trafik tapi pekan tak boleh dibesarkan lagi. Semakin semak mata memandang. Rumah kampung semakin rapat. Susah nak tengok laman belakang. Semua nak buat rumah besar tapi berkumpul setempat. Orang tua cari tanah, beli tanah. Anak cucu berebut tanah nak buat rumah dan jual tanah. Tanah sekeping, senarai nama punyalah panjang.

Orang Melayu Balik Pulau memang Melayu bukan DKK atau mamak. Walaupun ada yang berasal dari Acheh, Jambi, Jawa, Siam, Kedah,Minangkabau, semuanya telah menjadi Melayu ikut perlembagaan. Kalau dikatakan kami pendatang, orang lupa Perjanjian Inggeris Belanda 1824 yang memisahkan Alam Melayu. Sebelum ini kami bebas merantau sebab seluruh Nusantara ini kepunyaan kami. Tak ada sekatan untuk menetap dan berdagang. Kami mengamalkan budaya di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Tapi penjajahan yang memisahkan kami. Pulau Pinang telah pun didiami sebelum Francis Light lagi. Telah ada kampung. Telah ada penempatan. Orang lain datang setelah negeri rasmi dibuka dan ada peluang pekerjaan. Dulu-dulu orang Melayu tak perlukan bandar untuk membina kehidupan. Jadi siapa yang pendatang sebenarnya?

Jalan-jalan ke Pulau Pinang

Singgah sebentar di Padang Kota

Hatiku walang lagi terkenang

Lalu bercucuran air mata.

-SNASH-