Arwah mak tak pernah bersekolah, tapi mak pandai membaca jawi dan rumi. Asalnya sewaktu kecil, mak diajar membaca oleh kakaknya yang belajar membaca dari adik-adik lelaki yang bersekolah. Lucunya mak hanya belajar kenal huruf besar saja untuk tulisan rumi. Jadi pada awalnya mak hanya boleh membaca tulisan jawi dan rumi huruf besar.Tapi tak ada makalah yang diterbitkan dalam huruf besar sahaja.

Bila ada televisyen, ada sarikata, terkial-kial mak merenung televisyen. Setelah berpuluh tahun mak mahir membaca tulisan rumi akhirnya. Cuma kurang lancar sikit. Walaupun mak boleh membaca tapi tak pernah aku tengok mak menulis.

Walaupun begitu, dari segi pertukangan dan seni, boleh tahan. Di rumah mak serba boleh. Bertukang sendiri buat pelantar, baiki rumah apa yang patut. Mak pandai menjahit walaupun tak ada asas. Satu yang aku perasan, mak mempunyai pemerhatian yang teliti dan akal yang tajam. Semua benda dipelajari sendiri demi kelangsungan hidup. Tak bergantung kepada sesiapa hatta suami sekalipun. Aku rasa ini anugerah Allah pada mak agar dapat mencari rezeki untuk membesarkan anaknya yang ramai.

Bila aku rasa malas belajar, mak akan cakap, “Kalau mak bersekolah dulu, tentu mak dah jadi jurutera”. Betapa peluang pendidikan yang kami dapat diambil mudah. Sedang beliau terikat dengan zaman tradisi di mana anak perempuan tidak bersekolah. Hatta belajar agama pun terpulang kepada ibubapa di rumah. Tak ada radio atau televisyen. Nak keluar rumah sebarangan belum tentu. Kami adik beradik yang diberi peluang belajar tak mahu pula menggunakan kesempatan ini.

Mak sebenarnya seorang yang bijak. Cuma dia tidak bersekolah untuk dinilai kepandaiannya oleh orang lain. Tak ada ijazah untuk ditunjukkan. Tak ada jawatan besar yang ditinggalkan. SNASH.