Kebebasan adalah sesuatu yang kita mahukan.

Dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948, empat kebebasan utama yang dinyatakan adalah kebebasan kemahuan, bersuara, bebas daripada ketakutan dan kepercayaan.

Definisi kebebasan telah menjadi perdebatan sepanjang zaman dalam kalangan pengkaji sejarah,  ilmuan ahli akademik, ahli politik dan artis. Pelbagai definisi yang telah diberikan.

“Hak untuk memilih, hak untuk menciptakan diri sendiri kepada sesuatu pilihan yang berbeza. Tanpa kemungkinan dan pelaksanaan untuk memilih seseorang itu bukanlah manusia tetapi sebuah alat, benda”(Archibald MacLeaish)

“Kebebasan adalah kemampuan individu untuk diakui tentang diri mereka … Kita tidak akan bebas sehingga kita mula membebaskan pemikiran dan kehidupan dari perkara negatif di sekeliling kita” (Yasene Shpherd, 2007)

Jadi apa yang dapat ditakrifkan sebagai kebebasan bukannya mengenai hak asasi (rights) tetapi sama ada betul atau tidak (right).

Dalam perlembagaan Malaysia, kebebasan disentuh di bawah tajuk Kebebasan Asasi (Bahagian II) yang mana menyatakan kebebasan-kebebasan asasi yang kita miliki; hak untuk hidup dan kebebasan; kebebasan daripada perhambaan dan menjadi buruh paksaan; kesamarataan di sisi undang-undang; kebebasan bergerak; kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu; kebebasan agama; hak untuk berpendidikan; dan hak untuk memiliki harta.

Tiada kebebasan mutlak selagi kita mahu memikirkan bagaimana hendak mengecapi dan menikmati ‘kebebasan.’

Memikirkan tentang kebebasan itu sendiri telah menunjukkan keterbatasan (kita sudah tidak bebas) apabila tanpa sedar kita akan mencari apakah yang menjadi lawan kepada belenggu yang akan membolehkan kita mendefinisikan kebebasan itu.

Kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam masyarakat bertamadun kerana masyarakat bertamadun ialah masyarakat yang dikawal oleh sistem, peraturan dan undang-undang.

Janganlah kita terkeliru dengan kebebasan yang ditaja oleh barat. Barat mencanangkan kebebasan bahawa setiap individu boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu walaupun ia bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur.

Oleh itu bukankah lebih baik kita salurkan segala tenaga dan keupayaan kita untuk memakmurkan dunia ini dengan menggunakan definasi kebebasan yang terbatas iaitu bebas tetapi bertanggungjawab.

Adakah anda bebas sekarang? Atau adakah kebebasan yang anda mahu?