Arwah mak bangsa Melayu keturunan Acheh dan Minangkabau dari Sumatera Utara. DatuknyaTeuku Nyak Murshid @Sabar berhijrah ke semenanjung setelah Perang Acheh Belanda (1873-1904). Bersama beberapa kenalan lain mereka berpisah dan berselerak ke seluruh semenanjung Tanah Melayu dengan sumpah tidak akan kembali ke Acheh lagi. Seluruh anak cucu tidak dibenarkan kembali hatta melawat sekalipun. Hatta nama gelaran dan keturunan pun dibuang. Dari sebelah ibunya orang Minang yang menetap di Pulau Pinang. Kebanyakan orang Melayu Pulau Pinang (Bukan Mamak atau Mami) adalah dari keturunan Acheh, Jambi, Minang. Kalau tak percaya cuba tengok rumah tradisi di Pulau Pinang terutama di Teluk Kumbar dan Balik Pulau. Mesti ada sedikit sebanyak unsur-unsur tersebut. Mungkin susah nak cari sekarang sebab dah banyak rumah batu.

Arwah ayah bangsa Melayu keturunan Arab dari Maghribi dari ayahnya dan Arab-Yaman dari sebelah ibunya. Ayah mewarisi raut wajah Arab yang mancung hidung dan bulat matanya tapi mewarisi fizikal ibunya yang kecil molek. Percampuran keduanya melahirkan kami adik-beradik yang berkulit sawo matang, gelap dari ayah, kuning langsat dari mak. Sawo matang di tengah-tengah. Tapi keempat abang aku kalau pandai cakap Arab boleh dipanggil orang Arab, memang nampak jelas rupa Arab. Tapi Arab kulit gelaplah.

Kenapa kami anggap diri berbangsa Melayu? Mak dan ayah tak pernah pun bertutur Acheh dan Minang atau bahasa Arab. Mereka tidak dibesarkan begitu kerana datuk nenek mereka telah mengamalkan dan menyerap budaya tempatan. Kami bertutur bahasa Melayu loghat utara (dari kawasan Perak Utara, Pulau Pinang hingga ke Kedah Perlis), mengamalkan adat-resam Melayu dan beragama Islam Sunnah.

Soal keturunan adalah darah semata-mata. Sekurang-kurangnya aku tahu asal-usulku.

Belajar dari sejarah. Bahasa akan pupus kalau tak diamalkan. Pantang aku kalau mata tak biru, rambut tak perang, ada hati nak cakap Inggeris sesama sendiri. Tunggang terbalik pulak tu. Tak adalah bagus sangat. Nasib baik mak dan ayah aku tak pandai bahasa lain. Jadi aku membesar dengan persekitaran bahasa yang terlindung dan tak bercampur aduk. Hanya kenal bahasa Inggeris sewaktu darjah satu.(Tadika tak pergi). Walaupun ambil masa untuk kuasai bahasa Inggeris sekurang-kurangnya asas bahasa Melayu aku masih kuat. Cuma bila pergi sekolah terpaksa buat penyesuaian dengan bahasa Kebangsaan. Ramai orang hairan kenapa orang Melayu tidak menguasai bahasa Malaysia dengan cemerlang. Ini contohnya:

Seorang kawan  berbangsa Cina Hainan mengutarakan hal yang sama kerana bapa saudaranya fasih berbahasa Melayu (bersekolah Kebangsaan) walaupun dibesarkan dengan pertuturan Hainan dan Hokkien. Bagi aku bahasa Melayu ada loghatnya ikut negeri atau kawasan. Walaupun nampak sama tapi tak serupa. Orang Melayu terpaksa membuat penyesuaian ini, lebih sukar daripada belajar bahasa baru. Perkataan TIKAM untuk loghat Melayu Sarawak adalah LONTAR. Orang Melayu juga bergelut dengan ejaan. Cakap lain tapi eja lain. Perkara yang sama berlaku pada orang Melayu yang belajar bahasa Arab. Seorang kawan Melayu fasih bertutur bahasa Arab dengan nahu yang baik. Ini diakui oleh orang Arab sendiri. Kenapa? Dia belajar bahasa Arab yang betul dan bersih. Orang Arab pun ada dialek dan loghatnya.   Samalah seperti bangsa lain di Malaysia yang belajar Bahasa Melayu rasmi.Mudah sebab bahasa dah bersih.  Mungkin orang akan kata ianya adalah Alasan. Tapi dah ada soalan jadi mestilah ada jawapan kan?

Disebabkan nama jugalah beberapa kenalan baru FB yang cuba berkomunikasi denganku gagal. Mereka fikir sebab nama Arab jadi aku pandai bertutur bahasa Arab. Aku hanya tahu bahasa Melayu dan Inggeris. Mereka pula hanya bertutur Arab Maghribi dan Peranchis. Ada sekatan komunikasi, jadi aku menolak saja rakan baru ini.

Penting jugak jati diri ini.

-SNASH-