Tags

, , , , ,

Pernah anda berhadapan dengan situasi ini?

Adakah anda ingin menjadi seorang yang professional dan mengajukan soalan itu kepada orang lain?

Seorang yang profesional adalah individu yang menjadikan aktiviti, pengurusan dan pekerjaannya dilaksanakan dengan cekap (teratur), menepati piawaian yang tetapkan dan memiliki tatacara yang berhemah dalam mengendalikan urusan kerjanya.

Dia akan menggunakan kemahiran yang dimilikinya (dari ilmu yang banyak dipelajarinya, latihan yang khusus yang dia lalui dan pengalaman yang luas diperolehinya dalam bidangnya) untuk pelaksanaan kerja dan penghasilan pekerjaannya yang terbaik.

Terbaik bukan sahaja pada piawaiannya tetapi juga pada piawaian orang yang memerlukan khidmat daripadanya.

Adakah kita seorang yang profesional dalam aktiviti, pengurusan dan pekerjaan kita?

Sebenarnya kebanyakan kita ‘terkategori’ dalam istilah profesional.

Namun kebanyakan kita juga tidak memahami dan mampu untuk berperanan dan berfungsi sebagai seorang yang profesional.

Sebaliknya majoriti daripada kita hanya berasa diri kita profesional apabila menuntut bayaran upah daripada khidmat yang telah kita berikan – upah hendakkan yang tinggi kononnya pro dalam apa yang dilakukan.

Banyak organisasi yang ditubuhkan sama ada bermotifkan keuntungan (perniagaan – barangan atau perkhidmatan) atau bermotifkan pembangunan sosial dan fizikal (seperti sektor perkhidmatan awam) mempunyai matlamat yang sama iaitu menawarkan barangan dan perkhidmatan kepada pelanggannya dan mengharapkan pulangan yang tinggi daripada pelaburan yang telah dibuat.

Bagi sektor swasta, mudah sahaja, matlamat akhirnya memaksimumkan keuntangan.

Bagi sektor awam pula, produk dan perkhidmatan yang disediakan itu akan membantu mewujudkan kesejahteraan kepada masyarakat.

Untuk mencapai matlamat itu, maka tenaga kerja yang diambil masuk bekerja dengan organisasi perlu yang cekap, memiliki pengetahuan yang bersesuaian dan terkini, berkemahiran khusus dan tinggi serta berintegriti tinggi.

Ringkasnya, tenaga kerja yang diambil itu mesti yang profesional.

Disebabkan tenaga kerja yang diambil itu (kononnya) profesional, maka upah (gaji) yang ditawarkan ternyata agak lumayan malah ada ketikanya tidak munasabah.

Secara amnya dan secara logiknya, jika sumber asas yang digunakan adalah yang terbaik, maka penghasilannya juga yang terbaik (dengan andaian faktor-faktor persekitaran lain juga yang terbaik).

Namun sudah menjadi sikap manusia, kita akan berusaha untuk mendapatkan keuntungan atau manfaat yang terbesar bagi diri kita dahulu semaksimum yang boleh.

Ini menjurus kepada usaha mencari jalan pintas – usaha yang paling sedikit tetapi pulangan yang besar.

Oleh itu, akal mula mencari jalan dan meninjau ruang-ruang lopong untuk diambil kesempatan. Dalam bahasa yang mudah – memutarbelitkan keadaan, menyeleweng, menipu dan mencuri.

Tenaga kerja yang profesional itu kini boleh disub kategorikan sebagai penipu dan pencuri profesional dan bilangan mereka ini semakin menjadi majoriti.

Apabila golongan sub kategori ini semakin ramai (tidak kiralah di sektor swata atau sektor perkhidmatan awam), kita iaitu masyarakat umum yang menanggung akibatnya – kita yang rugi.

Rugi bukan sekadar ditipu mentah-mentah, tetapi juga kerugian peluang.

Kita kerugian besar apabila produk dan perkhidmatan yang kita perlukan terpaksa diperolehi dengan harga yang tidak munasabah tinggi atau rendah tetapi kualitinya begitu buruk.

Peluang yang ada juga semakin mengecil apabila terlalu  ramai ‘pemain’ yang masuk padang.

Kehidupan bermasyarakat semakin mendesak dan tertekan kerana masyarakat yang dilahirkan daripada tenaga kerja yang menyelewang itu sudah gelap mata dan hati.

Tatasusila, rasa hormat-menghormati, bertolak ansur dan saling tolong-menolong  semakin menipis dan semakin menebalnya sikap tamak dan pentingkan diri yang disebabkan memakan rezeki yang haram.

Bagi kita yang memiliki entiti perniagaan, kita pastinya akan berurusan, berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelbagai pihak (swata dan perkhidmatan awam) bagi membolehkan kita menjadikan peluang yang wujud mendatangkan hasil dan pulangan yang menguntungkan.

Ada ketikanya kita mencadangkan sesuatu kerjasama yang menguntungkan atau ada ketikanya kita dipanggil/dijemput untuk membekalkan produk atau perkhidmatan.

Maka perbincangan demi perbincangan dibuat. Pelbagai idea dan cadangan dikemukakan dan kita sudah berharap produk atau perkhidmatan akan dapat ditawarkan.

Yang lebih menarik lagi, dalam proses perbincangan itu, kita diminta untuk mengemukakan atau menyediakan dan menyiapkan terlebih dahulu beberapa bahagian atau sebahagian produk atau perkhidmatan berkenaan.

Sebagai seorang pengusaha yang profesional, kita akur dan beranggapan dengan berbuat demikian, pelanggan kita itu akan lebih yakin dengan kemampuan dan hasil kerja kita.

Kita juga beranggapan, kita berurusan dengan mereka yang profesional.

Sebagai seorang yang profesional, kita semamangnya sanggup membetulkan dan memenuhi apa sahaja piawaian yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama.

Malangnya dalam banyak situasi, apabila kita bersikap dan melaksanakan kerja kita dengan penuh rasa profesional, kita akan ‘diambil kesempatan,’ dibuli, dan akhirnya ditipu.

Lebih malang lagi, situasi itu berlaku berleluasa di sektor awam dan badan-badan berkanunnya!

Sudah tentunya kita berasa seperti sokong membawa rebah dan harapkan pagar, pagar makan padi!

Jadi, setiap kali anda berurusan, berkomunikasi dan berinteraksi yang melibatkan urusan rasmi dan perniagaan, jangan rasa segan untuk menyatakan Saya Seorang Pro dan bertanyakan Anda Pro? sebelum anda melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti berkenaan.

Pernyataan dan soalan itu mungkin menjadi penyelamat anda!