Artikel ini aku tulis kerana hati rasa tergamit mengenangkan perjalanan jauh yang perlu dilalui apabila balik ke Miri berbanding perjalanan menggunakan lebuhraya untuk balik kampung ke Pulau Pinang di Semenanjung.

Sesungguhnya orang Islam di Sarawak adalah minoriti. Lebih banyak gereja daripada masjid. Aku katakan orang Islam bukan orang Melayu kerana di sini Islam bukan bermaksud Melayu sahaja.

Dari Petra Jaya, Kuching hingga ke Bandar Miri jauh perjalanan adalah 950 km. Tidak ada lebuh raya di Sarawak. Yang ada hanyalah jalan persekutuan.

Waktu Subuh awal. Biasanya paling lewat pukul 5.35 pagi. Kami bertolak selepas subuh kerana kalau mahu berhenti sembahyang di masjid kami perlu berada di bandar besar. Dari Kuching ke Serian pula ambil masa 50 minit walaupun jaraknya hanyalah 60km. Waktu Subuh telah pun habis kerana semakin ke timur semakin awal waktu sembahyang. Sebelum ini perjalanan ke Serian mengambil masa 90 minit atau dua jam disebabkan jalan dua lorong. Apabila kerajaan membina jalan empat lorong maka waktu perjalanan dapat dipendekkan. Ini kerana laluan Kuching-Serian adalah satu-satunya jalan penghubung Kuching dengan bahagian-bahagian lain di Sarawak. Trafik agak sibuk.

Menggunakan Toyota Unser 2.4 Diesel, tangki minyak diisi penuh pada malam sebelumnya. Kami akan singgah di Serian untuk sarapan ataupun ke bilik air. Tandas Awam di Sarawak biasanya bersih. Bila singgah di Serian, banyak juga kereta seperti kami yang singgah rupanya. Siapalah yang mahu bersarapan pagi-pagi buta di rumah. Rasa sejuk pendingin hawa dalam kereta membuat kita terasa cepat hendak ke bilik air.

Gerai makan awam di Serian diusahakan oleh orang Melayu Serian yang biasanya adalah dari keturunan Jawa. Mereka masih bertutur dalam bahasa Jawa di kalangan mereka dan bertutur bahasa Melayu Sarawak bila berhubung dengan bangsa-bangsa lain.  Adat istiadat mereka juga berbeza dengan orang Melayu Kuching. Majoriti penduduk Serian adalah Bidayuh. Yang lainnya Melayu dan Iban. Cina ada di mana-mana.

Seterusnya kami ke Sri Aman. Simanggang adalah nama lama untuk Sri Aman. Bandar Sri Aman terletak kira-kira 120km dari Serian. Kalau nasib baik dapat sampai dalam masa 1 ½ jam. Kalau terpaksa ikut lori maka lebih dari dua jam untuk sampai ke Bandar Sri Aman. Jalan dua lorong, jalan berselekoh dan berbukit menyukarkan kita untuk memotong kenderaan di hadapan. Kami akan melalui simpang ke Simunjan. Selepas itu kebanyakan penduduk adalah dari bangsa Iban. Maka bentuk rumah juga telah berbeza. Hatta rupa ladang atau kebun pun tak sama. Walaupun tiba di Sri Aman, kami tidak akan singgah di bandarnya kerana di luar jalan utama. Namun kami akan singgah di Gerai Persinggahan PELADANG. Di sini ada kemudahan seperti R & R tapi bukan disediakan oleh kerajaan.

Dari Sri Aman kami ke Betong. Untuk ke Betong kami perlu melalui simpang ke Lubok Antu. Bandar-bandar di Sarawak biasanya terletak di tepi sungai besar. Tetapi apabila menggunakan jalan raya maka kita akan melepasi bandar-bandar ini kerana jalan raya di bina di kawasan pedalaman. Hanya nampak simpang sahaja. Di samping untuk menjimatkan kos membina jambatan yang besar untuk negeri yang terkenal dengan ‘land of many rivers’, pembinaan jalan raya diharap dapat membangunkan kawasan pedalaman terutama bagi kaum bumiputera agar tidak terlepas dari arus pembangunan.

Biasanya kami terus ke Sarikei tanpa singgah di Betong kecuali waktu perjalanan balik kerana di Betong ada R & R yang dibina kerajaan. Ada surau dan stesen minyak. Kami akan bersembahyang di sini. Tetapi sewaktu ke Miri, belum lagi masuk waktu Zohor apabila kami tiba di Betong. Sebelum R & R ini siap, biasanya kami akan singgah di masjid Sarikei atau Bintangor ataupun Lapangan Terbang Bintulu untuk sembahyang jamak.

Minyak kereta hanya tahan untuk ke Sibu sahaja. Lebih kurang 400 km dari Kuching. Sebelum Jambatan Rajang siap, kami akan menunggu feri untuk menyeberang Batang Rajang. Walaupun ada Jambatan Lanang di hilir sungai, jambatan ini terus ke bandar Sibu. Kami cuba elakkan dari masuk ke dalam bandar kerana sistem trafiknya yang buruk dan sibuk. Untuk itu kami perlu isi minyak sama ada di Sarikei atau Sibu. Seperti biasa kami akan melepasi simpang dan terus ke Selangau.

Selangau adalah bandar transit antara Mukah dan Sibu. Jauhnya dari Sibu adalah lebih kurang 74 km atau 1 jam perjalanan. Di sini ada tempat persinggahan tapi kami abaikan saja dan terus ke Bintulu.  Jika kami singgah mengisi minyak di Sarikei, maka sekali lagi kami perlu singgah di Bintulu untuk mengisi minyak. Jika kami mengisi minyak di Sibu, maka perjalanan boleh diteruskan hingga ke Miri. Namun Bintulu adalah bandar penting untuk disinggah kerana biasanya kami sudahpun memandu lebih dari 8 atau 9 jam. Letih oooo. Biasanya kami singgah di Lapangan Terbang kerana mudah parkir dan sembahyang selain untuk ke bilik air. Juga untuk elakkan dari memasuki bandar Bintulu yang terletak di luar jalan Pan Borneo.

Dari Bintulu ke Miri hanya 190 km, tetapi boleh mengambil masa 2 jam kerana hanya ada dua jalan pilihan. Pan Borneo Miri-Bintulu atau jalan pesisir Bintulu-Similajau-Miri. Sebelum jalan pesisir siap pada 2007, jalan Miri-Bintulu adalah jalan yang sibuk kerana banyaknya kegiatan balak, gas dan minyak di antara Miri dan Bintulu. Di kiri kanan hanya hutan ataupun rumah panjang. Kalau pokok tumbang di tengah jalan, berderetlah kereta yang berhenti. Undur tak boleh, mara tak boleh. Kalau patah balik pun tak guna sebab bukan pilihan yang baik. Nasib baik ada lori balak. Mereka ini biasanya lengkap dengan peralatan maka dapatlah pokok itu dialihkan dengan menggergajinya. Kalau nak panggil pihak berkuasa pun tak guna sebab tak ada liputan telefon.

Syukur sangat bila jalan pesisir siap cepatlah dapat sampai ke Miri. Jalan pesisir ini melalui ladang kelapa sawit yang besar,kawasan penempatan dan hutan Niah, dan tanah gambut. Tanda sudah dekat dengan laut. Pembinaan jalan pesisir ini sebenarnya banyak mengorbankan spesis tumbuhan yang jarang ditemui di kawasan lain kecuali kawasan Niah. Tapi setiap pembangunan ada harganya. Sepanjang jalan dari Bintulu ke Miri biasanya di kawasan pesisir pantai, penduduknya adalah Melanau, Kedayan dan Penan Muslim. Iban biasanya terdapat di jalan lama.

Keadaan jalan pesisir di Bahagian Bintulu sangat baik. Sebaik saja masuk ke Bahagian Miri, maka jalan raya sudah sempit, berbonggol dan semak kiri kanannya. Mungkin sebab pengurusan jalan diuruskan mengikut Bahagian. Lain pentadbiran maka lain juga kontraktornya. Tetapi sebaik memasuki kawasan Miri maka hawa tidak lagi panas seperti di Bintulu. Miri mempunyai hutan dan bukit di Niah. Kawasan ini biasanya tidak diteroka secara komersil. Namun masih ada ladang kelapa sawit yang diusahakan oleh penduduk tempatan. Keadaan muka buminya yang berbukit dan berhampiran laut melahirkan satu iklim yang sesuai untuk kediaman dan tanaman makanan. Jarang sekali hasil tanaman di kawasan ini diserang penyakit berbanding dengan kawasan di Sibu dan Kuching yang sememangnya dijalankan di tanah gambut yang rata.

Semakin hampir ke laut semakin dekat kami dengan bandar Miri. Setelah 10 jam perjalanan biasanya kami tiba di Miri.

Perjalanan sepuluh jam ini sebenarnya penambahbaikkan daripada 14 jam perjalanan kami sewaktu pertama kali membuat perjalanan Kuching-Miri.

  1. Pembinaan jalan empat lorong Kuching-Serian.
  2. Sebelum ini jalan dari Betong ke Bukit Kayu Malam, yang menghubungkan Betong dan Sibu mengambil masa selama 3 jam kerana belum siap sepenuhnya. Apabila siap, ia merupakan salah satu jalan Pan Borneo yang terbaik terutama di Sarikei. Mungkin kerana sewaktu itu MP Sarikei Datuk Lau Hing Ding mengambil berat akan kawasannya.
  3. Siapnya jambatan Batang Rejang menghubungkan Durin dan Sibu. Jambatan ini terkenal dengan kontroversi jambatan banyak kali tangguh sehinggalah terpaksa diselamatkan oleh JKR.
  4. Laluan Pesisir Miri-Bintulu.

Biasanya kami jarang singgah untuk makan tengahari kerana mahu menjimatkan masa perjalanan. Biasanya kami tiba di Sibu waktu tengahari. Tak ada restoran Muslim yang kami yakin jika di luar Sibu kecuali di lapangan terbang Sibu di mana restorannya menyediakan laksa sarawak yang sedap. Kalau ke bandar kami akan kerugian masa 1 atau 2 jam. Sarikei pula ramai Muslim tetapi berada di luar waktu makan dan di luar laluan utama. Selangau juga bukan pilihan kerana di sini ramai Iban dan Cina. Tetapi Bas Ekspress biasanya singgah di sini. Niah juga merupakan tempat persinggahan tetapi untuk pengguna jalan lama. Seperti biasa kedai makan di sini diusahakan oleh orang Iban dan Cina.

Sepanjang perjalanan banyak rupa bentuk rumah panjang dan banyak juga gereja. Untuk menempuh perjalanan ini kami perlu membawa telekung sendiri, bekalan makanan dan air yang cukup. Sewaktu krisis diesel, tong minyak tambahan diperlukan kerana takut sebarang kemungkinan yang berlaku. Dulu harga disel adalah tidak selaras. Harga meningkat ikut kawasan. Harga di pedalaman mungkin lebih mahal antara 5 – 50 sen untuk kawasan yang dihubungi jalan raya. Kalau jalan sungai, harga diesel lebih mahal dari itu. Pada waktu harga minyak RM2.90 seliter, kami perlu belanja RM500 untuk minyak bagi perjalanan pergi dan balik.

Perjalanan malam tidak digalakkan kerana tidak ada lampu jalan. Hanya sewaktu perayaan barulah terdapat banyak kenderaan pada waktu malam. Dalam kereta juga lengkap dengan peralatan kecemasan. Tali nylon, but Wellington, parang dan tools kit adalah kemestian. Boleh ditambah dengan baju hujan dan pelampung kecemasan. Kalau kita berada di luar jalan Pan Borneo sebarang kemungkinan boleh berlaku. Sebelum terbinanya R & R kalau terasa hendak ke tandas, bersedialah untuk melepaskan hajat di tepi jalan, balik pokok atau hutan. Tak ada siapa yang kisah sebab semua orang buat begitu.

Budaya membawa bekal masih utuh di sini.  Kadang-kadang di kawasan R & R atau di mana-mana sesuai untuk berhenti kita akan dapat lihat kebanyakan keluarga ini mengeluarkan bekal makanan untuk dinikmati seisi keluarga sebelum meneruskan perjalanan.

  1. untuk menjimatkan perbelanjaan.
  2. Menjimatkan masa perjalanan.
  3. Soal halal, haram dan kebersihan.

Lamanya waktu singgah bergantung kepada mood si pemandu. Biasanya antara 30 hingga 45 minit. Ini tidak termasuk waktu mengisi minyak. Rehat adalah penting kerana dapat melegakan urat saraf dan perjalanan darah yang lancar. Sembahyang adalah senaman yang baik kerana darah akan lancar di seluruh badan terutama apabila kita sujud.

Walaupun jauh, trafik di Pan Borneo sebenarnya lengang. Jalan raya seolah kita yang punya. Lori hanya banyak pada waktu pagi atau petang di antara Miri-Bintulu dan Sri-Aman-Kuching. Sepanjang perjalanan dari Kuching ke Miri, kita akan berjumpa dengan bangsa yang berbeza, hawa yang berbeza, budaya yang berbeza. Contoh ketara adalah makanan. Kalau teringin nak makan makanan yang sedap sebenarnya bolehlah singgah di Sibu. Biasanya ramai yang singgah di Sibu semalam sebelum meneruskan perjalanan ke Mukah atau Miri. Ini biasanya bagi keluarga yang besar.  Hotel murah di Sarawak, banyak dan bersih.

Reka bentuk rumah panjang juga berbeza mengikut kegiatan ekonomi, bangsa dan kawasan. Kami beruntung kerana selalu dapat bertugas di luar bandar dan dapat masuk ke kampung dan kawasan pendalaman menyelami sendiri kehidupan penduduk di sini. Namun perjalanan ke Miri adalah peribadi kerana balik menziarahi keluarga maka tidaklah kami pedulikan sangat dengan pemandangan sekeliing. Mungkin dah biasa lihat dan selalu lihat.

Pernah sekali kami menaiki bas dari Bintulu ke Kuching. Itulah kali pertama dan terakhir aku menaiki bas ekspress. Sakit pinggang kerana terlalu lama duduk. Jalan utama belum siap sepenuhnya. Perjalananan pula 11 jam. Singgah entah di mana, sembahyang entah ke mana. Makan… hanya burger saja yang kami berani jamah. Sejak itu serik kami naik bas. Aku bilang pada suami, kalau nak balik Miri, kita naik kapal terbang saja. Kalau tak mampu tak payah balik. Waktu tu gaji masih kecil dan tambang masih mahal untuk kami. Kereta pun kereta lama. Unser yang kami pakai ini adalah kepunyaan syarikat untuk kegunaan suami. Bila ada Unser barulah kami balik ke Miri menggunakan jalan darat.

Kadang-kadang terasa pengalaman ini umpama memandu dari LA ke New York pulak. Tapi kat sana lagi hebat. Namun Borneo adalah pulau yang besar. Sarawak adalah satu per tiga darinya. Dapat melalui pengalaman sebegini juga adalah manis untuk kami.

Sekarang kemudahan jalan dah baik. Tak seperti 10 tahun lalu. Tapi ada kalanya kami masih rindukan suasana kepayahan apabila menempuhi perjalanan ke Miri. Pengalaman tayar kereta terbenam dalam tanah sehingga terpaksa menahan kereta lain untuk menolong. Pengalaman keluar waktu gelap dan tiba waktu gelap. Pengalaman membawa kucing kami menaiki kereta. Mereka diberi ubat tidur supaya tidak aktif dan merengek sepanjang jalan. Yang teruk adalah pada bulan puasa. Walaupun musafir, suami sayang tinggalkan puasanya. Setelah seharian memandu, malamnya kami tidur lena kerana kepenatan akibat duduk terlalu lama dalam kereta. Esoknya kami tidak ke mana-mana. Sakit belakang masih terasa.

Biasanya kami cuba tinggal lebih dari seminggu kerana alang-alang balik, biarlah lama. Hilang rasa rindu pada ahli keluarga, dapat juga hilang sakit belakang sebelum memulakan perjalanan balik ke Kuching.

- SNASH-